KJ kepada PH: Anwar sebut Daim manusia paling korup

KJ kepada PH: Anwar sebut Daim manusia paling korup

Khairy Jamaluddin berkata Pakatan Harapan hilang kredibiliti apabila menerima Daim Zainuddin.

SEREMBAN:
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mengingatkan Pakatan Harapan kepada apa yang didakwanya kata-kata Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang Tun Daim Zainuddin, iaitu beliau manusia paling korup di Malaysia, selepas bekas menteri kewangan itu didapati menyertai kempen pilihan raya PH.

“PH seorang-olah langsung tidak mempunyai pegangan dan prinsip. Asalkan dia sokong, segala-gala kesilapan dan kepincangan dulu dimaafkan dan dilupakan.

“Bila dia kutip penyokong seperti ini dia langsung hilang kredibiliti,” katanya kepada pemberita sebelum rondaannya di Sekolah Kebangsaan Taman Tuanku Jaafar hari ini.

Daim dilihat menyertai kemaraan PH pada hari ke-4 tempoh berkempen, apabila beliau turun ke Pendang, Kedah dan secara terbuka menyatakan sokongan kepada calon gabungan itu kepada warga Pendang.

Semalam, beliau dilihat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur di mana beliau mempertikaikan kenyataan kerajaan tentang keadaan ekonomi negara.

Sementara itu, Khairy percaya kehadiran Daim, serta bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz dan Tan Sri Rais Yatim dalam kempen PH tidak memberi kesan kepada BN.

“Semakin hari semakin ramai pengundi dah buat keputusan dah. Yang atas pagar ini semakin kecil, saya rasa tak ada kesan banyak mana pun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.