Arul Kanda goyang pinggul bila sebut Jho Low dan kapal layar Equanimity

Arul Kanda goyang pinggul bila sebut Jho Low dan kapal layar Equanimity

Ketua pegawai eksekutif 1MDB itu berkata sekiranya beliau masih berkawan dengan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu, sudah tentu dia berpesta dengan Paris Hilton di atas Equanimity.

Free Malaysia Today
Arul Kanda berucap sambil menggoyang pinggul di sesi taklimat di Pulau Pinang hari ini.
BALIK PULAU:
Ketua pegawai eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy hari ini mengundang ketawa hadirin di sebuah program taklimatnya di sini, apabila menjelaskan hubungannya dengan Lee Taek Jho atau Jho Low, ahli perniagaan kontroversi yang dikaitkan dengan syarikat milik kerajaan itu.

Arul berkata beliau pernah bertemu ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu ketika bekerja di sebuah bank di Timur Tengah, tetapi tidak pernah berurusan atau mempunyai apa-apa hubungan perniagaan dengannya.

“Memang dia mempunyai aktiviti perniagaan di Timur Tengah, jadi bila saya bekerja dengan bank di Timur Tengah, saya pernah berjumpa denga Jho Low pada tahun 2011.

“Tapi diri saya atau bank saya tidak ada perniagaan dengan dia, dan lepas tahun 2011 itu, saya tidak lagi ada kontak dengan dia,” kata Arul.

Kemudian secara berseloroh, beliau berkata sekiranya hubungan itu masih ada tentulah akan ada fotonya yang berbadan “sasa” di atas kapal layar Equanimity atau ketika sedang berparti dengan Paris Hilton.

Ia disambut dengan ketawa oleh kira-kira 400 orang penonton yang hadir di auditorium Politeknik Balik Pulau itu.

“Maaf, saya tidak kenal dia dan dia bukan kawan saya,” katanya.

Ketika dicadangkan seorang wartawan yang Jho Low sepatutnya kembali ke Malaysia dan memberi penjelasan tentang dakwaan penglibatannya dengan 1MDB, seperti dilakukan Arul yang mengadakan siri jelajah ke seluruh negara, Arul berkata mungkin media patut menerbitkan berita meminta Jho Low berbuat demikian.

Jho Low dikaitkan dengan pelaburan 1MDB yang bermasalah dengan sebuah syarikat Timur Tengah. Jabatan Kehakiman AS menamakan beliau dalam saman sivil untuk merampas sejumlah aset bernilai kira-kira AS$1 bilion – termasuk kapal layar Equanimity, jet peribadi, hotel dan barangan mewah.

Jabatan Kehakiman AS mendakwa barang dan aset tersebut dibeli dengan menggunakan pelaburan 1MDB yang dicuri. 1MDB menafikan kehilangan wang dan berkata syarikat itu masih berunding dengan rakan niaganya di Timur Tengah itu bagi menyelesaiakn pertikaian berhubung pembayaran yang dilakukan.

Baru-baru ini kapal Equanimity dirampas polis Indonesia berikutan penyiasatan Biro Penyiasatan Persekutuan AS (FBI), tetapi kemudiannya diarah dilepaskan oleh sebuah mahkamah Jakarta kerana syarikat pemilik kapal itu yang berdaftar di kepulauan Cayman tidak melakukan jenayah di Indonesia.

Jho Low juga sebelum ini beberapa kali dilihat bersama selebriti AS, Paris Hilton, di samping selebriti Hollywood lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.