
Exco Pemuda Umno Ibdilillah Ishak berkata kenyataan Rafizi itu suatu fitnah yang perlu dihentikan segera, serta perlu disiasat bawah Akta Anti-Berita Tidak Benar.
“Tindakan Rafizi itu mencemar nama baik sebuah suruhanjaya yang berkecuali serta individu-individu yang telah dinamakan dalam kenyataan medianya,” kata Ibdilillah di Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau petang tadi
Laporan polis dibuat di Balai Polis Pedas, kata Ibdilillah.
Sebelum ini, Rafizi di Twitter mendakwa Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya SPR Amino Agos Suyub memanipulasi pilihan raya menggunakan polis untuk menghalang Dr Streram Sinnasamy bertanding di DUN Rantau.
Naib presiden PKR itu mendakwa Mohamad menang kerana calon PH “dihalang”.
Beliau turut menggesa agar Khairy bertanggungjawab.
Terdahulu, Pakatan Harapan Negeri Sembilan tergamam apabila Streram gagal mempamerkan pas calon yang dikeluarkan SPR, menyebabkan beliau tidak boleh memasuki pusat penamaan calon.
Kegagalan itu menyebabkan Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding, kemenangan pertama Barisan Nasional pada pilihan raya umum ke-14.
Streram berkata pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang bagi membatalkan kemenangan Mohamad, calon yang sangat popular di Negeri Sembilan.