PRU ini, pelbagai jenis bai’ah untuk calon PAS

PRU ini, pelbagai jenis bai’ah untuk calon PAS

Mereka dikategorikan mengikut Islam dan bukan Islam, PAS dan Gagasan Sejahtera.

KUALA LUMPUR: Setiap calon yang bertanding di bawah bendera PAS akan diwajibkan membuat akuan bersumpah atau bai’ah, dan kali ini ia menurut agama mereka pada pilihan raya umum akan datang, kata parti itu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan berkata teks bai’ah kali ini terbahagi kepada 4, iaitu kepada calon Islam dan bukan Islam dari kalangan PAS, dan calon Islam dan bukan Islam dari kalangan parti anggota Gagasan Sejahtera.

PAS, yang enggan menyertai Pakatan Harapan, menggabungkan beberapa parti kecil di bawah Gagasan Sejahtera, termasuk Parti Ikatan Bangsa Malaysia, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Cinta Malaysia.

“Kita sesuaikan dengan keadaan. Jadi semua bai’ah atau akuan bersumpah ini akan diadakan dan disaksikan bertulis yang angkat sumpah tandatangan dan yang saksi pun akan tandatangan,” kata Takiyuddin dipetik laman berita rasmi parti, Harakahdaily.

PAS mengumumkan senarai penuh calonnya malam ini, di mana setiap calon diwajibkan menandatangani akuan bersumpah yang disediakan.

Pada PRU lalu, PAS mewajibkan calonnya untuk melafazkan sumpah taklik, yang antara lain menghendaki calon yang memenangi kerusi kekal dengan parti itu, atau menceraikan isteri mereka dengan talak tiga.

Ia mula diperkenalkan ketika PAS bersama Semangat 46 dalam Angkatan Perpaduan Ummah pada 1995 apabila kerajaan Kelantan berdepan cabaran ekoran tindakan beberapa wakil rakyat melompat parti.

Beberapa pemimpin Amanah sebelum ini didakwa melanggar bai’ah tersebut, termasuk Adun Salor, Datuk Husam Musa dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli.

Bulan lalu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man membayangkan elemen lafaz cerai itu mungkin digugurkan pada PRU kali ini jika parti itu merasakan tiada keperluan untuk melindungi kerusi mereka secara paksa.

“Kali ini sumpah taklik kemungkinan tidak ada. Dulu pun tidak ada kecuali di Kelantan. Dulu masa tok guru, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, melihat ada keperluan pada masa itu. Secara umumnya tidak ada,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Tiada sumpah talak 3 pada PRU14, kata PAS

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.