Sita kapal dikaitkan Jho Low tak sah, kata mahkamah Indonesia

Sita kapal dikaitkan Jho Low tak sah, kata mahkamah Indonesia

Mahkamah berkata pemilik kapal itu tidak pernah disabit dengan apa-apa kesalahan jenayah.

Free Malaysia Today
Kapal mewah yang disita itu dilihat di perairan Bali, Indonesia pada 28 Februari 2018. (gambar AFP)
PETALING JAYA:
Mahkamah di Jakarta memutuskan tindakan kerajaan menyita kapal mewah yang dikaitkan dengan ahli perniagaan Low Taek Jho tidak sah, kerana pemilik Equanimity bernilai AS$250 juta itu tidak pernah disabit dengan apa-apa kesalahan jenayah, lapor The Straits Times.

“(Jika) tiada jenayah (dibuktikan), tak boleh sita,” kata akhbar Singapura itu memetik Hakim Ratmoho di Mahkamah Daerah Jakarta Selatan, dan menambah sitaan itu tidak sah dan tidak berasas dari sisi undang-undang.

Mahkamah berkata polis Indonesia melakukan kesalahan apabila menyita kapal itu kerana ia terletak bawah bidang kuasa Kementerian Hukum dan Hak Asasi Manusia.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) berkata kapal 300 kaki yang didaftarkan di Kepulauan Cayman dibeli dengan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Pihak berkuasa di Bali menyita kapal itu pada 28 Februari. Polis Indonesia kemudian mengumumkan ia mahu menyerahkan kapal itu kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Sebuah syarikat, Equanimity Cayman Ltd, kemudian memfailkan saman di Indonesia bagi menghalang sitaan itu, mengatakan kapal itu tidak dikaitkan apa-apa kes jenayah di negara itu.

Equanimity antara aset yang dikaitkan dengan Jho Low dan dikehendaki DoJ, termasuk sebuah jet peribadi, sebuah hotel dan hartanah di New York.

DoJ dalam tindakan undang-undang sivilnya berkata kira-kira AS$4.5 bilion dicuri dari 1MDB melalui penipuan dan pengubahan wang.

Tindakan itu menyenaraikan aset bernilai AS$1.7 bilion yang didakwa dibeli dengan dana yang dicuri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.