
Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, di bawah Najib, bukan sahaja kedai roti miliknya sahaja ditutup tetapi banyak lagi perniagaan besar juga tutup.
“Kalau Najib tidak lagi jadi perdana menteri dan ekonomi negara baik, The Loaf mampu hidup dan bertahan tetapi apabila pilih pemimpin seperti Najib, bukan sahaja The Loaf, kedai besar juga akan tutup,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PPBM hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Mahathir cuba menjual The Loaf bagi mendapatkan dana pilihan raya untuk membantu kempen partinya, PPBM.
Francais bakeri premium itu menghentikan operasi pada 12 April lepas selepas 12 tahun beroperasi.
Kelmarin, Najib dilaporkan menyindir Dr Mahathir kerana menyalahkan penutupan perniagaan pada Barisan Nasional.
Beberapa pimpinan BN lain cuba menjadi penutupan The Loaf untuk mengkritik bekas perdana menteri itu, termasuk Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari yang mempersoalkan bagaimana Dr Mahathir mahu menyelamatkan negara dalam 100 hari jika kedai roti sendiri tidak dapat diselamatkan.
Sementara itu, Dr Mahathir meragui sebab yang diberikan 4,000 ahli PPBM dari Alor Mengkudu yang keluar parti dan menyertai Umno.
“Kami sedar Umno ada banyak wang dan dapat dilihat dari jumlah bendera yang mereka pasang,” katanya.