
Majistret Nik Muizzuddin Nik Muhammad mengeluarkan perintah reman hingga Jumaat ini (20 Mac) selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut laporan media, ketiga-tiga lelaki berumur antara 30 dan 34 tahun itu ditahan dalam serbuan kira-kira 4 petang semalam di sekitar Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Sumber SPRM berkata mereka dipercayai orang tengah yang menguruskan proses pembelian sijil palsu tersebut dan pasukan penyiasat sedang mengenal pasti individu yang bertanggungjawab mencetak sijil palsu tersebut.
Katanya sindiket terbabit dipercayai mengeluarkan sijil diploma, sarjana muda dan sarjana palsu tanpa memerlukan individu terlibat mengikuti kursus pembelajaran.
Sindiket ini hanya mengambil masa seminggu untuk menyediakan sijil palsu tersebut yang diperoleh dengan bayaran antara RM2,000 dan RM16,000 bergantung kepada jenis sijil dan IPTS, kata sumber itu.
SPRM juga sedang menyiasat sama ada terdapat penglibatan individu dalam IPTS yang bersubahat dengan sindiket itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.