
Mereka mendesak BN menurunkan Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah di kerusi itu.
“Datuk Shafei boleh bantu Cina, semua bangsa dia bantu, saya sendiri jadi saksi. Pengundi di sini kalau ada masalah akan jumpa saya dan bila saya beritahu Shafie, dia terus bantu.
“Bahkan dia terus hubungi saya semula untuk bertanya sama ada masalah sudah selesai atau belum. Dia akan bantu sepenuh hati. Jika letak calon MCA, kami akan undi pembangkang,” kata Pengerusi Persatuan Perniagaan Wangsa Maju, Jimmy Liu di Bilik Gerakan SRS di Flat Danau Kota, hari ini.
Beliau berkata, Shafei tetap membantu penduduk setempat walaupun beliau tewas pada 2013.
Wakil gabungan NGO masyarakat Cina Wangsa Maju, Low Kong Nam berkata kekalahan Shafei pada 2013 tidak patut dijadikan kayu pengukur.

“Dia bagus, sebelum ini dia kalah sebab disabotaj MCA. Kena bagi peluang kepada Shafei sekali lagi. Saya tidak mahu MCA sebab parti itu tidak jaga kita.
“Dia (MCA) tidak tolong rakyat, sebaliknya hanya memilih dari kalangan kawan-kawan mereka sahaja,” dakwanya.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sebelum ini membayangkan MCA akan bertanding di kerusi Parlimen Wangsa Maju.
Bagaimanapun, Shafei dilaporkan berkata, Umno paling layak bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum ke-14, walaupun kalah pada 2013.
Shafei mendakwa jika MCA dicalonkan di kerusi itu, pengundi Melayu mungkin menyokong pembangkang.
Terdapat 67,775 pengundi di Wangsa Maju, dengan 61% ialah Melayu, 21% Cina dan 18% India.
Pada PRU13, Shafei yang mendapat 26,130 undi tewas kepada calon PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong yang memperoleh 31,641 undi.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14