Najib dakwa pembangkang terima berita palsu sebagai alat campur tangan

Najib dakwa pembangkang terima berita palsu sebagai alat campur tangan

Perdana menteri berjanji kerajaan tidak akan memanipulasi berita palsu.

KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan tidak akan memanipulasi berita palsu, sebaliknya akan melindungi rakyat dan kedaulatan negara menerusi Akta Anti-berita Tidak Benar 2018 yang diwartakan minggu lalu.

Perdana menteri sebaliknya mendakwa sesetengah pemimpin pembangkang nampaknya mengalu-alukan berita palsu yang digunakan sebagai alat campur tangan dan gangguan.

“Kami melihat banyak contoh di seluruh negara di mana berita palsu digunakan sebagai alat campur tangan – yang peliknya sesetengah pemimpin pembangkang kini kata mereka mengalu-alukannya.

“Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik, saya boleh beritahu anda yang anggota kerajaan saya tidak (memanipulasi berita palsu),” katanya ketika berucap melancarkan Forum Putrajaya 2018 di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade hari ini.

Najib berkata, rakyat yang perlu menentukan masa depan negara dan mereka patut berbuat demikian berdasarkan fakta, bukannya berita palsu yang penuh dengan penipuan, propaganda, janji palsu dan ilusi.

Beliau turut berjanji Barisan Nasional (BN) akan terus mengekalkan kebebasan dan keselamatan negara.

“Kami akan mempertingkatkan usaha-usaha kami mengurus dan menghadapi ancaman masa depan,” katanya.

Pada 11 April lalu, Najib mengumumkan Akta Anti-berita Tidak Benar berkuat kuasa serta-merta selepas mendapat kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

Akta itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 6 tahun dan denda RM500,000 jika sabit kesalahan.

Akta itu mentakrifkan berita tidak benar sebagai apa-apa berita, maklumat, data atau laporan yang sepenuh atau sebahagiannya tidak benar, sama ada dalam bentuk tulisan, visual, rakaman audio atau bentuk lain yang berupaya mencadangkan perkataan atau idea.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.