Xavier Jayakumar tidak akan pertahan Sungai Kandis

Xavier Jayakumar tidak akan pertahan Sungai Kandis

Menurut sumber, naib presiden PKR itu akan bertanding di DUN lain atau Parlimen.

Free Malaysia Today
Xavier memang di Seri Andalas sejak 2 pilihan raya lepas. Nama kerusi ini ditukar kepada Sungai Kandis.
PETALING JAYA:
Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar tidak akan mempertahankan DUN Sungai Kandis pada pilihan raya akan datang, kata sumber.

Sungai Kandis, nama baharu DUN Seri Andalas, dimenangi Xavier pada 2008 dan berjaya dipertahankan pada PRU13, dengan majoriti 15,000 undi.

Sumber mengatakan kepimpinan tertinggi PKR belum memutuskan sama ada Xavier akan diletakkan di DUN lain atau diangkat ke Parlimen.

“Buat masa ini, Mat Shuhaimi Shafiei, penyandang Kota Kemuning (sebelum ini Sri Muda) akan bertanding di kerusi Xavier.”

Awal hari ini, FMT melaporkan Exco Selangor V Ganabatirau dari DAP akan bertanding Kota Kemuning.

Beliau merupakan penyandang DUN Sentosa, sebelum ini Kota Alam Shah.

Shuhaimi berkemungkinan sekali bertembung calon MIC dan PAS di Sungai Kandis, kerusi campuran dengan pecahan 39% pengundi Melayu, Cina 24%, India 35% dan lain-lain 2%.

Mengenai DUN Sentosa pula, sumber mengatakan PKR masih belum memuktamadkan calon.

“Apa yang sah setakat ini ialah calon itu berketurunan India. Parti sedang melihat beberapa nama, termasuk calon anak muda dan wanita.

“Di Selangor, bilangan calon India dari PKR lebih dari mencukupi jadi sebilangan mereka masih sedang berbalah.”

Kerusi Sentosa yang mempunyai majoriti pengundi Cina ditandingi DAP sejak 2008, apabila M Manoharan memenangi kerusi itu semasa dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana pembabitannya dengan tunjuk perasaan Hindraf 2007.

Pada 2013, Manoharan digugurkan untuk Ganabatirau, yang mempertahankan kerusi itu bagi DAP dalam pertarungan 4 penjuru menentang calon BN, Maglin Dennis D’Cruz, calon bebas Loo Hok Chai dan L Pannerselvam.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.