Umno Kota Marudu sokong siapa sahaja calon BN

Umno Kota Marudu sokong siapa sahaja calon BN

Ketua Umno Kota Marudu meredakan kebimbangan daripada cadangan Ahmad Zahid Hamidi berkenaan kerusi DUN Matunggong.

KOTA KINABALU: Umno Kota Marudu akan menyokong siapa sahaja calon Barisan Nasional di semua kerusi dalam Parlimen Kota Marudu.

Ketua Bahagian Wetrom Bahanda selepas pertemuan dengan ketua menteri dan pengerusi Umno Sabah, Tan Sri Musa Aman berkata Umno Kota Marudu akan mengaturgerak jentera dan ahli bagi memastikan kemenangan BN di situ.

“Apapun keadaannya, kami akan menyokong siapa juga calon BN di Kota Marudu. Itu jelas,” katanya lapor Bernama.

“Saya sudah jelaskan dengan ketua menteri, apapun keadaan, Umno Kota Marudu akan pastikan semua calon kita akan menang,” katanya, di tengah-tengah pertelingkahan tentang DUN Matunggong bawah Parlimen itu. Kerusi DUN lain di kawasan itu ialah Tandek.

Matunggong termasuk dalam kuota untuk Parti Bersatu Sabah (PBS) bawah konsep perkongsian kuasa BN.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dalam lawatan ke Kota Marudu baru-baru ini mencadangkan PBS meminjamkan kerusi itu kepada Umno bagi meningkatkan peluang BN memenanginya dengan majoriti lebih besar.

Pada pilihan raya lepas, kerusi itu, yang menjadi kubu kuat PBS sejak menyertai BN pada 2002, jatuh ke tangan PKR dengan majoriti tipis 320 kerusi.

Calon PKR, Jelani Hamdan, merupakan bekas ketua Umno Kota Marudu, dan kemudian meninggalkan parti pembangkang dan menjadi wakil rakyat bebas mesra BN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.