Radhi Mat Din calon PAS lawan Mahfuz di Pokok Sena

Radhi Mat Din calon PAS lawan Mahfuz di Pokok Sena

Presiden PAS mengumumkan nama bekas pemain bola sepak kebangsaan berusia 53 tahun itu pada ceramah di markas PAS Alor Ibus semalam.

ALOR SETAR: Legenda bola sepak Kedah, Radhi Mat Din diumum sebagai calon muka baharu PAS bagi kerusi Parlimen Pokok Sena.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan nama bekas pemain bola sepak kebangsaan berusia 53 tahun itu pada ceramah Gelombang Hijau PRU14 di markas PAS Alor Ibus semalam.

Radhi dijangka menentang naib presiden parti Amanah Datuk Mahfuz Omar, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena.

Mahfuz, bekas naib presiden PAS, meninggalkan parti itu pada 31 Disember selepas 34 tahun bersama PAS.

Abdul Hadi turut mengumumkan seorang lagi muka baharu, ahli farmasi Muhamad Riduan Mohd Othman, 43, sebagai calon kerusi Parlimen Kuala Kedah yang disandang pengerusi PKR Kedah Dr Azman Ismail.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhrudin Sheikh Fakhrurrazi, 47, diumum sebagai calon kerusi DUN Pengkalan Kundur yang disandang Datuk Phahrolrazi Zawawi dari Amanah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.