
Ahli Parlimen Datuk Seri Ghapur Salleh berkata Umno bahagian memberi peringatan kepada parti bahawa ahli-ahli mereka hanya akan menyokong calon yang dipilih dari kalangan ahli jawatankuasa Umno Kalabakan.
“Jika kepimpinan parti letak calon orang luar untuk bertanding di sini, ia akan menyukarkan kerja kami memujuk orang ramai mengundi BN,” katanya selepas menghadiri satu majlis rakyat di Tawau semalam.
Parlimen Kalabakan menaungi 3 DUN iaitu Merotai, Tanjung Batu dan Sebatik. Semua kerusi ini dimenangi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lepas.
Ghapur tidak nampak sebarang masalah bagi BN mempertahankan 4 kerusi itu kerana jentera Umno sudah siap sedia sejak 6 bulan lepas di semua 21 pusat mengundi di situ.
Terdahulu dalam ucapannya, Ghapur berkata pengundi jangan terpengaruh dengan pembangkang, yang katanya hanya kelihatan di musim pilihan raya.
“Apabila pilihan raya tiba, parti pembangkang berjanji bulan dan bintang dan kemudian menghilangkan diri. Hanya Umno dan BN akan berada di sini untuk selesaikan masalah rakyat,” katanya.
Ghapur memenangi Kalabakan tanpa bertanding pada 2004 dan 2008.
Pada 2013, beliau menewaskan 6 calon lain termasuk pesaing terdekat, PAS.