Anak Nik Aziz nafi sertai Amanah, tanding DUN Chempaka

Anak Nik Aziz nafi sertai Amanah, tanding DUN Chempaka

Nik Omar masih ahli Pas dan tiada rancangan bertanding kerusi ayahnya.

PETALING JAYA:
Selepas beberapa hari menjadi tumpuan selepas beliau dikatakan bakal menyertai Amanah dan bertanding DUN Chempaka, anak bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tampil menafikan “khabar angin” itu.

Nik Omar berkata beliau masih lagi ahli PAS dan tiada rancangan untuk bertanding di kerusi ayahnya atas tiket PKR.

“Setakat ini tidak akan menyertai Amanah dan bertanding,” katanya.

Nama Nik Omar disebut-sebut apabila Pengerusi Amanah Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pihaknya sedang berunding dengan anak kedua Nik Aziz itu membawanya masuk parti.

Wan Rahim berkata Nik Omar mungkin akan dicalonkan di DUN Chempaka jika rundingan berhasil.

Semalam, Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata Nik Omar belum disahkan secara rasmi akan bertanding sebagai wakil Amanah.

Adiknya, Nik Abduh yang juga ahli Jawatankuasa Pusat PAS menafikan Nik Omar akan menyertai parti serpihan PAS itu.

“Tiada rundingan, keluarga kami menafikannya. Ini propaganda untuk pecah-belahkan rakyat Kelantan,” katanya.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14

Mat Sabu: Anak Nik Aziz belum sah bertanding untuk Amanah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.