
Beliau cuma dimaklumkan oleh Amanah Kelantan bahawa Nik Omar bersedia untuk bertanding.
“Setakat ini saya dengar daripada Kelantan begitu rupa tapi belum lagi disahkan secara rasmi. Dengar khabar begitu, dia bersedia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Harapan Baru Untuk Masyarakat India Muslim hari ini.
Khabar angin mengenai abang sulung kepada pemimpin PAS Nik Abduh itu akan bertanding atas tiket Amanah bertiup kencang kebelakangan ini.
Mohamad memberitahu pihaknya mahu meletakkan Nik Omar bertanding di kerusi yang pernah disandang ayahnya, iaitu DUN Chempaka, sekiranya disahkan.
“Kalau betul sah, dia akan bertanding di Chempaka, tempat tok guru Nik Aziz dulu,” katanya.
Mat Sabu sedang pertimbang
Dalam pada itu, Mohamad turut ditanya adakah beliau akan bertanding di Parlimen Kota Raja, Selangor. “Sedang dipertimbangkan, belum juga rasmi,” katanya.
Mengenai penyandang kerusi itu, Mohamad berkata parti merancang untuk menurunkan Dr Siti Mariah Mahmud ke peringkat DUN.
Mengenai majlis hari ini, Mohamad menerima kemasukan lebih 200 orang berketurunan India yang beragama Islam ke dalam partinya, termasuk Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Nooru Hasan Sahul Hameed.
Mohamad mencadangkan pembentukan sayap khas untuk masyarakat itu.
“Daripada golongan India Muslim ini permintaan itu supaya ada kepimpinan peringkat tertinggi nasional mewakili golongan India Muslim ini,” katanya.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14