
Beliau memberitahu FMT nama Shahrizat “hampir dimuktamadkan” pucuk pimpinan parti dan surat watikah mungkin dikeluarkan minggu depan.
Sumber itu yang enggan dinamakan bagaimanapun berkata, ada keraguan mengenai peluangnya bertanding di kawasan majoriti Melayu disebabkan kaitannya dengan isu National Feedlot Corporation (NFC).
“Ada yang bimbang dengan isu NFC. Ia boleh digunakan pembangkang terhadapnya.
“Tetapi, namanya sudah dibersihkan. Jadi, kita mengharapkan yang terbaik kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membersihkan namanya daripada sebarang pembabitan dalam kontrak RM250 juta dan pinjaman kepada NFC.”
Suami Shahrizat, Datuk Seri Mohamed Salleh Ismail ialah pengerusi NFC, manakala anaknya ialah pengarah syarikat itu.
Pembangkang mendakwa syarikat yang dibiayai dana awam itu menggunakan pinjaman mudah kerajaan untuk kegunaan tiada kaitan dengan penternakan lembu, termasuk pembelian kondominium mewah di Bangsar dan Singapura serta tanah di Putrajaya.
Shahrizat yang juga ketua Wanita Umno Bahagian Kepong, ditewaskan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di kerusi Parlimen Lembah Pantai pada PRU 2008.
Bandar Tun Razak ialah kerusi tradisi MCA. Awal tahun ini, Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Datuk Rizalman Mokhtar memberitahu FMT beliau berharap kerusi itu akan diberikan kepada Umno.
Rizalman turut dikatakan berhasrat bertanding di kerusi itu. Bagaimanapun, selepas ditahan dalam satu serbuan SPRM dan polis 2 minggu lalu, peluangnya dicalonkan tipis.
Saringan awal air kencingnya menunjukkan beliau positif dadah, tetapi namanya dibersihkan selepas ujian patologi oleh Hospital Kuala Lumpur.
Minggu lalu, FMT menghubungi Rizalman yang memberitahu beliau tidak pasti mengenai peluangnya dicalonkan di Bandar Tun Razak.
MCA kehilangan kerusi Bandar Tun Razak kepada bekas calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada 2008 dan beliau berjaya mempertahankan kerusi itu pada 2013 dengan majoriti besar 11,832 undi.
Khalid menyertai Umno sekitar 1990-an sebelum beralih ke PKR sekitar 2000. Beliau dilantik sebagai menteri besar Selangor susulan kejayaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada pilihan raya umum 2008.
Khalid meletak jawatan menteri besar pada 26 Ogos 2014 susulan krisis dalaman parti itu, selepas beliau dipecat daripada PKR kerana melanggar arahan parti untuk membuka laluan kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau kini ialah calon bebas.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14