
Tanda pagar itu digunakan untuk mengingatkan dan menggalakkan pengundi balik mengundi walaupun hari mengundi jatuh pada Rabu.
Lima tanda pagar popular ialah #pulangmengundi, #myundi, #jombn, #sayapilihbirumuda dan #undirabu.
Aktivis sosial Datuk Paduka Marina Mahathir dan bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah yang menggunakan tanda pagar #pulangmengundi di Twitter dikongsi kebanyakan pengguna media sosial untuk memberi motivasi kepada pengundi untuk balik mengundi.
Pengguna Twitter, Yoong menulis: “#pulangmengundi dan #carpoolGE14 perkara terbaik di Twitter hari ini. Rakyat Malaysia menunjukkan yang terbaik. #Malaysiamemilih.”
Penyokong pembangkang mencipta tanda pagar #sayapilihbirumuda, merujuk kepada logo PKR yang akan digunakan pada kertas undi untuk mewakili gabungan Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada DAP, PKR, Amanah dan PPBM.
Sementara itu, tanda pagar #undirabu digunakan selepas SPR mengumumkan hari pengundian akan diadakan pada Rabu, 9 Mei. Pemilik akaun Twitter mengingatkan rakyat untuk melaksanakan hak sebagai pengundi.
M Fathi Rayyan antara pengguna Twitter yang memuji pengundi kerana bersatu sebagai maklum balas kepada hari pengundian yang akan dijalankan pada pertengahan minggu nanti.
Sementara itu #jombn dilampirkan bersama gambar pemimpin Barisan Nasional seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Pengguna media sosial, FF menulis: “Pemimpin adalah mereka yang memperkasakan orang lain. Ini wajah masa depan. Ini pilihan saya. Masa depan saya.”
Sementara itu, tanda pagar #myundi digunakan untuk mengingatkan rakyat untuk menyemak lokasi pengundian mereka.
Beberapa tanda pagar popular lain ialah #malaytsunami, yang mengharapkan sokongan Melayu untuk PH dan pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad, serta #undiandapenentumasadepan yang bertujuan untuk menghantar mesej kepada pengundi bahawa mereka lah yang akan mencorakkan masa depan negara.