
Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan keputusan SPR menetapkan Rabu untuk rakyat mengundi sebagai tidak demokratik.
“Saya rasa untuk orang kampung, mereka boleh keluar (mengundi), tetapi mereka yang bekerja mempunyai masalah untuk mengundi dan juga mereka yang bekerja di luar negara.
“Ada 500,000 pekerja (Malaysia) di Singapura…Mereka ini sepatutnya mengundi, tetapi sekarang hak mereka untuk mengundi dinafikan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden PH di ibu pejabat PPBM hari ini.
Beliau mengulas keputusan SPR memilih 9 Mei yang jatuh pada Rabu sebagai hari mengundi dan 28 April ini sebagai hari penamaan calon untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Dr Mahathir berkata, pengundian pada Rabu akan memberi kesan kepada Barisan Nasional dan parti pembangkang.
Mengenai tempoh berkempen selama 11 hari, bekas perdana menteri itu berkata: “Kita akan uruskan. Kita akan ada di mana-mana. Saya sendiri boleh ke 3 tempat yang berbeza pada masa sama.”
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengecam keputusan SPR itu sebagai “merompak demokrasi” berkata, parti Islam itu akan mengadakan mesyuarat esok untuk membincangkan tindakan lanjut.
“Tindakan ini bukan sahaja menyusahkan rakyat, malah merompak hak mengundi rakyat yang berada di luar kawasan bagi membuang undi.
“Ini petanda BN telah menghidu tsunami rakyat menolak BN bertiup kuat sehingga susah dibendung lagi,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mempersoalkan SPR kenapa tidak memilih 1 Mei atau 5 Mei sebagai hari mengundi bagi memudahkan pengundi pulang ke kampung halaman untuk mengundi kerana 9 Mei berada di pertengahan minggu.
“Apa gunanya SPR membuat gesaan agar rakyat mendaftar undi dan menyasarkan 85% keluar mengundi pada PRU14, tapi melaksanakan hari pengundian di hari bekerja yang menyebabkan ramai rakyat tidak jadi mengundi?” soalnya.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata, parti Islam itu mungkin menyewa bas untuk membawa pengundi di bandar besar pulang ke Kelantan menunaikan tanggungjawab mereka.
“Ada di kalangan pengundi kami akan balik mengundi bersama keluarga mereka. Tetapi, sekarang mereka mungkin fikir sebaliknya demi menjimatkan wang untuk kegunaan ketika raya,” katanya.
Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14.