Hari mengundi 9 Mei, 11 hari berkempen

Hari mengundi 9 Mei, 11 hari berkempen

Seramai 14,940,624 rakyat Malaysia berdaftar boleh membuang undi pada PRU14.

PUTRAJAYA: Hari mengundi ditetapkan pada 9 Mei ini, sementara 11 hari diperuntukkan untuk parti bertanding berkempen, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hari penamaan calon ditetapkan pada 28 April ini.

“Pengundian awal pula ditetapkan pada 5 Mei 2018, manakala tempoh berkempen 11 hari bermula selepas penamaan calon selesai sehingga jam 11.45 malam 8 Mei 2018,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada sidang media selepas mesyuarat khas pagi ini.

Hashim berkata, sebanyak RM500 juta diperuntukkan untuk mengendalikan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang membabitkan 259,391 petugas daripada kalangan orang awam.

Katanya, SPR turut melantik 222 pegawai pengurus dan menubuhkan 445 pasukan penguatkuasaan kempen pilihan raya untuk memantau aktiviti berkempen.

Beliau berkata, SPR menyediakan 8,989 pusat mengundi dengan 28,995 saluran mengundi.

Hashim berkata, SPR menggunakan daftar pemilih suku ke-4 2017 yang mempunyai 14,940,624 pengundi berdaftar.

“Pengundi biasa seramai 14,636,716 orang, pengundi awal terdiri daripada 300,255 anggota tentera, polis dan pasangan mereka serta 3,653 pengundi tidak hadir (pengundi luar negara).”

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa Sabtu lepas, diikuti pembubaran semua Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sarawak akan hanya memilih ahli Parlimen kerana DUN yang mempunyai 82 kerusi negeri itu tidak dibubarkan, memandangkan pilihan raya negeri diadakan pada 2016.

Ini bermakna sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 423 kerusi DUN dipertandingkan kali ini, bilangan sama pada PRU 2013, walaupun selepas persempadanan semula yang menyaksikan pemindahan pengundi di beberapa negeri.

PRU kali ini bakal menyaksikan gabungan pembangkang Pakatan Harapan, yang menyatukan PKR, DAP, Amanah dan PPBM, buat pertama kali menggunakan satu simbol di Semenanjung Malaysia, iaitu lambang PKR.

Ia susulan pembubaran sementara PPBM oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan yang melarang parti itu menggunakan simbol dan namanya selama 30 hari.

Parti pembangkang lain yang bertanding termasuk PAS dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Semenanjung, sementara Gabungan Sabah dan Parti Warisan Sabah (Warisan), antara pembangkang yang akan bertanding di Sabah.

Sebelum dibubarkan, Dewan Rakyat terdiri daripada 132 wakil Barisan Nasional, DAP (36), PKR (28), PAS (21). Tujuh daripada kerusi PAS bagaimanapun berpindah kepada Amanah.

Warisan pula memiliki 2 kerusi, manakala PSM dan PPBM masing-masing satu, dan 2 wakil rakyat bebas.

Klik sini untuk perkembangan sepanjang musim PRU14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.