
Ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menghormati keputusan 7 individu itu dan tindakan mereka tidak menjejaskan persiapan di Parlimen Sepanggar, di mana beliau dikatakan akan bertanding.
Begitu juga persiapan di DUN Inanam dan Karambunai, katanya.
“Dulu ada nama-nama besar tinggalkan Umno dan BN tetapi parti masih bertahan. Umno sudah mengharungi banyak cabaran sejak ditubuhkan pada 1946…pengasas Datuk Onn Jaafar juga meninggalkan parti untuk menubuhkan parti baharu tetapi Umno tak terkubur,” katanya.
Bercakap pada pemberita selepas pertemuan bersama masyarakat Cina di Inanam hari ini, Abdul Rahman menamakan 7 bekas orang kuat BN yang meninggalkan parti tetapi gagal menggugat.

“Saya berikan 7 nama mereka yang tinggalkan parti tetapi tidak dapat menggugat. Datuk Seri Lajim Ukin, seorang ketua bahagian, timbalan menteri dan ahli majlis tertinggi Umno, dan baru-baru ini Shafie Apdal meninggalkan kami tetapi parti tak terjejas.
“Tan Sri Muhyiddin Yassin (timbalan perdana menteri) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas perdana menteri) juga pergi meninggalkan kami tetapi Umno masih kuat. Begitu juga Datuk Wilfred Bumburing (bekas timbalan presiden Upko) dan Datuk Yong Teck Lee (bekas ketua menteri) juga pergi tetapi BN masih bersemangat,” katanya.
Terdahulu, 7 individu, diketuai Azhar Matussin, meletakkan jawatan parti pada Ahad sebagai membantah sebarang langkah menggugurkan penyandang Parlimen Sepanggar, Jumat Ramli, sebagai calon BN pada pilihan raya umum ke-14.
Azhar berkata syor meletakkan Abdul Rahman sebagai calon oleh pemangku Ketua Umno Sepanggar, Yakub Khan, menunjukkan tiada calon lain yang sesuai daripada kalangan Umno Sepanggar.
Beliau berkata satu lagi dorongan kepada peletakan jawatan itu ialah hilang keyakinan kepada kepimpinan Yakub.
Rahman berkata 7 individu itu tidak meninggalkan parti dan berharap mereka akan terus membentu parti sebagai ahli biasa.
“Saya menghormati keputusan mereka kerana ia hak mereka tetapi kita berpegang kepada prinsip bahawa kita berkhidmat kepada rakyat dan bukan individu,” katanya.
Yakub berkata 7 individu itu menjauhi aktiviti parti sejak Jumat digantung keahlian pada April 2015 berikutan kritikan terhadap Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman di Facebook.
“Mereka tidak menghadiri mesyuarat bahagian dan perhimpunan Umno Sepanggar sejak penggantungan Jumat.
“Ini perkara biasa setiap kali pilihan raya tetapi pemergian mereka tidak menunjukkan tanda-tanda Umno lemah dan BN terutamanya dalam persiapan menghadapi pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata kumpulan itu belum menyerahkan surat peletakan rasmi dan berharap mereka akan terus berjuang untuk parti dan Sabah.