
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, Yong Peng adalah laluan utama untuk jalan negeri yang menghubungkan Segamat, Muar, Batu Pahat dan Parit Sulong, serta jalan alternatif dari Johor ke Pantai Timur.
Penyandang kerusi Parlimen Ayer Hitam sejak 2004 itu berkata, jalan dalam dan sekitar Yong Peng akan mengalami kesesakan teruk pada waktu puncak, termasuk hujung minggu dan musim cuti.
“Dengan adanya sokongan dan mandat lebih besar, saya yakin kita bukan sahaja dapat mengatasi kesesakan itu, tetapi membina Ayer Hitam yang lebih hebat,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas manifesto BN diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, yang merangkumi projek menaik taraf Lebuhraya PLUS dari jajaran Yong Peng ke Johor Bahru daripada 4 lorong kepada 6 lorong, jika BN menang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Wee berkata, beliau mengemukakan cadangan menaik taraf jajaran Yong Peng dalam mesyuarat Kabinet terakhir sebelum Parlimen dibubarkan, Jumaat lalu.
“Saya menerangkan kebaikan cadangan tersebut kepada perdana menteri dan Kabinet, terutamanya kebaikan dari segi kejuruteraan dan nampaknya usaha tersebut tidak sia-sia dengan pengumuman itu.”
Beliau berharap projek menaik taraf jajaran Yong Peng itu dapat menyelesaikan masalah kesesakan kawasan sekitar, selain merancakkan ekonomi setempat, khususnya Yong Peng yang menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.