Urus janji Uber, Grab masih berdepan halangan

Urus janji Uber, Grab masih berdepan halangan

Jika urus janji itu gagal, Uber mungkin meninggalkan operasi di Singapura dan menjadikan Grab pemain dominan, kata pakar.

Free Malaysia Today
Uber sedang menamatkan operasi serantaunya dan meminta pelanggan dan pemandu berpindah ke platform Grab.
SINGAPURA:
Siasatan kawal selia boleh menyukarkan pengambilalihan perniagaan Uber Technologies di Asia Tenggara oleh Grab, tetapi tidak banyak dapat dilakukan pihak berkuasa untuk menghalang Uber meninggalkan rantau itu, kata peguam dan penganalisis.

Beberapa hari selepas urus janji itu diumumkan minggu lepas, agensi antitrust di Singapura dan Filipina mula mengkajinya, dan Malaysia mengatakan ia juga akan mengambil langkah yang sama.

Peguam antitrust berkata Grab yang berpangkalan di Singapura boleh cuba memujuk pengawal selia dengan menawarkan sesuatu seperti sekatan harga dan membolehkan ia dikenakan lebih banyak peraturan. Ia juga boleh berhujah mengatakan pengguna masih mempunyai banyak pilihan perkhidmatan e-hailing lain.

“Daripada membuang urus janji itu, terutama dengan peserta berpotensi baru, saya percaya dengan perlindungan yang betul, dengan komitmen yang betul, urus janji itu masih boleh dilakukan,” kata Gerald Singham, timbalan pengurus rakan kongsi di firma guaman, Dentons Rodyk.

Jika urus janji itu gagal, Uber boleh meninggalkan Singapura dan menjadikan Grab pemain dominan, kata pakar.

Uber sedang menamatkan operasi serantaunya dan meminta pelanggan dan pemandu berpindah ke platform Grab. Lima ratus kakitangan Uber juga akan berpindah ke Grab.

Data pegangan pasaran bagi sektor e-hailing belum lengkap, tetapi firma analisis data App Annie meletakkan Grab mendahului Uber di semua ekonomi di Asia Tenggara dari segi pengguna bulanan aktif. Pengecualiannya adalah Indonesia, di mana syarikat Go-Jek yang disokong Tencent Holdings mendahului syarikat lain.

“Isu antitrust adalah tentang bagaimana anda meminimumkan monopoli yang menjejaskan kuasa harga dan pengguna. Tetapi hakikatnya, pengguna mempunyai pilihan dengan lain iaitu pengusaha teksi sedia ada di semua pasaran,” kata sumber yang mengetahui tentang urus janji Grab tetapi tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Uber sedang menjual operasi Asia Tenggara, termasuk unit penghantaran makanannya, kepada Grab selepas pertarungan 5 tahun yang menyebabkan syarikat Amerika Syarikat itu menanggung kos sebanyak AS$700 juta. Sebagai balasannya, Uber akan memperoleh 27.5% pegangan di Grab, yang secara kasar bernilai AS$6 bilion.

Presiden Grab, Ming Maa memberitahu Reuters minggu lepas, penumpang dan pemandu mempunyai banyak pilihan pengangkutan lain, daripada teksi sehingga pengangkutan awam.

Go-Jek pula merancang memasuki Singapura tidak lama lagi dalam langkah pertamanya ke peringkat antarabangsa, lapor Straits Times.

Kala Anandarajah yang mengetuai firma berkaitan persaingan dan antitrust di Rajah & Tann Singapore berkata, walaupun halangan memasuki sektor e-hailing agak rendah di Singapura dan Asia Tenggara, peserta baru perlu memulakan operasi dengan cukup besar jika mahu bersaing dengan Grab-Uber secara berkesan.

Agensi antitrust Singapura memberitahu Reuters ia akan mempertimbangkan Go-Jek dan syarikat teksi seperti ComfortDelgro Corp sebagai sebahagian daripada pasarannya sambil menentukan persaingan dalam siasatan terhadap urus janji Grab dan Uber.

Langkah sementara yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura memerlukan Uber dan Grab mengekalkan harga pra transaksi masing-masing dan tidak berkongsi sebarang data sulit. Minggu ini Grab mengemukakan cadangan bertulis berkenaan urus janji itu kepada agensi itu.

Uber enggan memberi komen. Grab tidak memberi komen serta merta dan merujuk kepada kenyataan sebelum ini di mana pihaknya mengatakan urus janji itu tidak mengurangkan persaingan dan bermanfaat kepada penumpang dan juga pemandu.

“Pada waktu ini, pengawal selia tidak mempunyai banyak cara oleh kerana aset yang sedang dipindahkan dari Uber ke Grab tidak memberi kesan besar. Jadi, walaupun pemindahan aset dihalang, matlamat Grab, iaitu mengusir Uber keluar dari Asia Tenggara, sudah pun tercapai,” kata Corrine Png, ketua eksekutif firma penyelidikan, Crucial Perspective.

“Bagaimanapun, Grab akan berhati-hati untuk tidak menyinggung pengawal selia,” kata Png.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.