
Penganalisis politik di Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mencadangkan 3 idea kepada parti itu untuk digunakan buat masa ini.
Pengarah Institut Pengajian Politik itu berkata PPBM boleh menggunakan isu pembatalan pendaftaran ini untuk meraih undi simpati daripada rakyat.
“PPBM boleh buat isu ini kononnya mereka mangsa tindakan politik JPPM, kononnya teraniaya dan kerajaan takut dengan PPBM sehingga membubarkan parti itu.
“Kedua, masuk ke dalam parti lain, mungkin bergabung dengan Amanah atau PKR….bergantung dengan parti lain juga sama ada sudi menerima mereka atau tidak.
“Kalau dari segi strategi parti, sepatutnya PPBM bergabung dengan Amanah sebab mereka mempunyai hala tuju yang sama. Dalam erti kata, mereka ditugaskan untuk mendapatkan undi orang Melayu bagi Pakatan Harapan.
“Lebih mudah jika mereka berdua bergabung tapi masalahnya pada kepimpinan Amanah yang ada sekarang, sama ada mereka sanggup melepaskan jawatan atau turun pangkat dan beri ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sebagainya untuk menjadi ketua dan menggantikan tempat mereka,” katanya.
Langkah terakhir buat parti itu ialah mengambil alih parti sedia ada yang sudah berdaftar, kata Kamarul.
Beliau mengambil Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) sebagai contoh dan langkah itu sebenarnya lebih mudah.
Bagaimanapun, beliau berkata keburukan dari perkembangan sekarang ini ialah ia akan mencelarukan persiapan PPBM dari segi kelancaran jentera pilihan raya.
“Masalahnya adalah masa yang terlalu terhad, jadi agak sukar untuk ini berlaku.”
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) hari ini mengarahkan pembubaran sementara PPBM selepas parti itu gagal membekalkan dokumen di dalam tempoh masa yang diberikan sebelum ini.
Dokumen itu ada kaitan dengan notis JPPM mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan, yang merujuk minit mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat serta perihal penyata kewangan parti.
Ia susulan aduan ahli parti itu mengenai perhimpunan agung tahunan (AGM) pertamanya pada akhir Disember lalu.
Perkembangan ini timbul di tengah-tengah spekulasi mengatakan Parlimen akan dibubarkan esok bagi membuka laluan kepada PRU14.