
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, penggubalan akta ini dijangka dapat merapatkan ketidaksamaan gender di antara wanita dan lelaki.
“Kementerian sudah mengadakan sesi perbincangan susulan dengan Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara serta pihak badan bukan kerajaan pada 29 Mac 2018.
“Perbincangan lanjutan melibatkan semua agensi kerajaan, semua negeri, Caucus Wanita Parlimen Malaysia dan ‘stakeholders’ berkaitan akan diadakan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Rohani berkata, RUU yang dirancang untuk digubal itu akan memasukkan prinsip Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW).
“Undang-undang ini akan membantu menghapuskan diskriminasi dan menegakkan kesaksamaan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Fenomena penglibatan rendah wanita di peringkat kepimpinan, stereotaip dan pengasingan pekerjaan dalam bidang profesional, gaji tidak seimbang dan sebagainya akan ditangani dengan penggubalan akta ini,” katanya.
Rohani juga mengakui isu berkaitan kesaksamaan gender merupakan isu sensitif dan sebarang perbincangan akan dipastikan mengikut lunas negara.
“Kerajaan ambil langkah proaktif berdasarkan keputusan kes AirAsia Berhad versus Rafizah Shima Mohamed Aris yang memutuskan peruntukan CEDAW hanya terpakai sekiranya suatu undang-undang domestik menerima pakai prinsip CEDAW,” katanya.