
“Tak ada bukti yang dia terlibat,” kata pegawai penyiasat, Inspektor Khor Yi Shuen, dan menambah demikian itu suspek tidak ditangkap dan ditahan.
Beliau sebelum itu ditanya pemerhati Suhakam sama ada individu yang bergelar “Rozain” didapati terlibat dalam kehilangan pengasas Perlis Hope itu, yang hilang sejak 24 November 2016.
Sebelum ini, isteri Amri, Norhayati Ariffin berkata saksi ternampak 5 buah kenderaan menghalang kenderaan suaminya sebelum dibawa pergi, kira-kira 550m dari rumah mereka ke Bukit Chabang, Perlis.
Khor dalam keterangan terdahulu berkata kehilangan Amri, sama ada penculikan atau menghilang diri, mungkin kerana 4 perkara iaitu “hutang, Syiah, anak angkat dan Perlis Hope”.
Anak angkat yang dimaksudkan Khor itu ialah anak angkat Amri. Perlis Hope merupakan NGO membantu golongan anak yatim dan fakir miskin.
Aktivis itu dikatakan menganut fahaman Syiah dalam satu temubual Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin pada 23 Januari lalu, dan keterangan adik iparnya, Norhafizal Mohd Ariffin.
Menurut Norhafizal, Amri mengakui menganut fahaman Syiah dalam pertemuan dengan Asri pada 7 Oktober 2016, sebulan sebelum kehilangannya.
Fahaman Syiah difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan. Asri menafikan sebarang kaitan dengan kehilangan aktivis itu.
Pada 23 Januari lalu, seorang kenalan Amri, Mohammad Faisol Abdul, menamakan seorang individu bergelar “Rozain” yang didakwa terlibat dalam kehilangan aktivis itu.
Faisol menerima maklumat itu menerusi 3 individu lain, beberpa hari selepas Amri hilang. Faisol mengakui dia tidak mengenali “Rozain”, yang didakwa dari Kangar.
Khor hari ini berkata 2 kenalan Amri bernama “Mukriz” dan “Aizat” ada menyebut nama “Rozain” pada April 2017, dan beliau berjaya mengesan suspek pada Disember tahun itu.
Khor akui tidak menunjukkan gambar Rozain kepada para saksi untuk pengesahan.
“Pada pendapat saya ia membazir masa,” katanya ketika menerima soalan daripada pemerhati Suhakam dan peguam keluar Amri.
Amri hilang: Suhakam diberitahu golongan benci Syiah tidak disiasat