P Pinang gesa ketepi GST untuk perumahan mampu milik

P Pinang gesa ketepi GST untuk perumahan mampu milik

Exco Jadgeep Singh Deo juga mahu GST diketepikan untuk bantuan kewangan kepada pembinaan dan penyenggaraan rumah ibadat.

GEORGE TOWN:
Kerajaan Pulau Pinang menggesa Putrajaya mengetepikan GST bagi peruntukan dan penyenggaraan perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan sebagai bantuan kewangan untuk pembinaan dan penyenggaraan tempat ibadat.

Exco Perancangan Bandar dan Desa dan Perumahan, Jadgeep Singh Deo berkata cukai itu secara tidak adil menjejaskan usaha kerajaan negeri, termasuk Pulau Pinang, dalam 3 bidang tersebut.

“Sangat mengecewakan apabila usaha membantu golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan akses rumah, untuk menanggung perumahan mereka dan membantu pembinaan rumah ibadat tertakluk kepada cukai ini,” katanya dalam kenyataan.

Mengenai peruntukan perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik, Jagdeep berkata kerajaan Pulau Pinang kini mempunyai 18 projek yang menyaksikan 27,306 unit diberikan kepada rakyat Pulau Pinang.

Beliau dimaklumkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang bahawa 11 daripada 18 projek itu akan tertakluk kepada GST, pada jumlah yang dianggarkan sebanyak RM163 juta.

“Itu nilai yang besar. Ini tidak termasuk projek lain oleh kerajaan negeri dan projek perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik yang dibangunkan oleh sektor swasta di Pulau Pinang.

“Jumlah besar ini memang harus diketepikan kerana kita meletakkan usaha untuk memastikan peruntukan bagi perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik untuk membantu golongan berpendapatan rendah.

“Secara lanjut, jika cukai yang dikenakan diketepikan, simpanan itu boleh digunakan untuk membina lebih banyak unit perumahan sedemikian demi kepentingan golongan berpendapatan rendah.”

Tambahnya, program penyenggaraan oleh kerajaan negeri untuk perumahan sedemikian juga tertakluk kepada GST.

Adun Datuk Keramat itu berkata sejak 2010, kerajaan negeri sudah membelanjakan RM30.6 juta bagi 50 skim perumahan awam.

Bawah tabung tanggungan maksimum 80%, kerajaan negeri sudah membelanjakan RM21.5 juta sejak 2013 menyenggara perumahan sedemikian.

“Daripada RM52.1 juta, dianggarkan GST sebanyak 6% bersamaan dengan jumlah sebanyak RM3.12 juta.

“Jika cukai ini diketepi dalam program tanggungan demi kepentingan penduduk di perumahan kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik, simpanan itu boleh digunakan untuk program tanggungan lain bagi skim perumahan sedemikian,” tambahnya.

Menurut Jagdeep, jika GST diketepikan, ia akan menjimatkan RM2 juta yang mana boleh membantu lebih banyak pembinaan rumah ibadat bukan Islam (Ribi).

Bawah portfolio ketua menteri, katanya, lebih kurang RM30 juta digunakan untuk hal ini.

“Selanjutnya, bawah portfolio saya, terdapat tabung Ribi di mana setakat ini, lebih kurang 104 permohonan diluluskan yang bersamaan lebih kurang RM3.8 juta.

“Anggaran GST yang dikenakan terhadap bantuan yang disalurkan kepada bantuan Ribi bernilai RM33.8 juta adalah sebanyak RM2 juta.

“Sekali lagi, jika cukai itu diketepi, terdapat simpanan lebih kurang RM2 juta yang boleh digunakan untuk membantu lebih banyak Ribi.”

Semalam adalah ulangtahun ke-3 GST dikuatkuasakan sejak 2015.

Pakatan Harapan dalam manifesto pilihan raya berjanji untuk memansuhkan GST pada pilihan raya umum ke-14.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.