
Menurutnya, bekas perdana menteri itu yang dahulunya bersikap autokratik dan percaya kepada “strong government” untuk melindungi kedudukan orang Melayu, kini bersekongkol dengan DAP yang dimusuhinya selama ini.
“Dengan sikap politiknya yang paradoks ini, ke manakah sebenarnya Mahathir mahu membawa Malaysia ini? Jika ke arah negara demokratik, apakah tidak demokratik lagi sikap politik (Datuk Seri) Najib (Razak) yang menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan meminda AUKU (Akta Universiti dan Kolej Universiti)?
“Jika untuk mewujudkan bangsa Malaysia, apakah tidak lengkap lagi pemerintahan Najib yang bersifat inklusif, merakyat dan menghargai kepelbagaian?
“Jika untuk menentang ketirisan dan kelemahan tadbir urus kerajaan Barisan Nasional (BN), tidak ingatkah Mahathir yang tiris sebenarnya ialah skandal BMF (Bumiputra Malaysia Finance) RM2.5 bilion dan skandal forex RM30 bilion yang terjadi pada zaman pemerintahannya?
“Inilah ironisnya politik Mahathir ini, iaitu beliau menciptakan paradoksnya sendiri,” katanya menerusi catatan terbaharu blog beliau.
Salleh yang juga bendahari agung Umno berkata demikian sebagai mengulas video pendek 3 minit 33 saat bertajuk “Pada Sesuatu Ketika” yang tular sejak kelmarin.
Beliau yang mempersoalkan perubahan sikap Dr Mahathir turut berkongsi pandangan pemerhati politik yang memberikan 3 sebab punca perubahan itu.
“Pertama, Tun mempunyai ‘superiority complex’, suatu sikap yang tidak boleh menerima kelebihan orang lain.
“Ke-2, Tun kecewa dengan sikap barisan pemimpin tinggi Umno yang tidak menyokong anaknya untuk menang dalam pemilihan naib presiden.
“Ke-3, beliau tidak berpuas hati dengan beberapa polisi Najib yang dilihatnya cuba menghapuskan legasinya.
“Jika begitu alasan Mahathir untuk menentang Najib dan keluar dari parti Umno yang diketuainya selama 22 tahun, ke mana Mahathir mahu membawa politik Malaysia ini? Kuatnya paradoks politik Tun,” kata Salleh.