
Pegawai penyiasat, Inspektor Khor Yi Shuen berkata, tiada tindakan diambil terhadap golongan itu kerana tiada maklumat tentang mereka.
Beliau menjawab soalan peguam keluarga Amri, Razlan Hadri, yang mahu melihat sama ada polis ada menyiasat “orang benci Syiah” yang mahu mengapa-apakan aktivis itu, yang dikatakan seorang Syiah.
Fahaman Syiah difatwakan sesat oleh pihak berkuasa agama tempatan. Pengasas persatuan kebajikan Perlis Hope itu hilang sejak 24 November 2016.
Khor tidak menolak Syiah salah satu perkara di sebalik kehilangan Amri, sama diculik atau menghilangkan diri.
“Hutang, Syiah, anak angkat dan Perlis Hope,” katanya.
Anak angkat yang dimaksudkan Khor itu ialah anak angkat Amri. Perlis Hope merupakan NGO membantu golongan anak yatim dan fakir miskin.
Aktivis itu dikatakan menganut fahaman Syiah dalam satu temubual Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin pada 23 Januari lalu, dan keterangan adik iparnya, Norhafizal Mohd Ariffin.
Menurut Norhafizal, Amri mengakui menganut fahaman Syiah dalam pertemuan dengan Asri pada 7 Oktober 2016, sebulan sebelum kehilangannya.
Asri menafikan sebarang kaitan dengan kehilangan aktivis itu.