
Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata kapal pengangkut pesawat Liaoning tidak berada berdekatan perairan Malaysia.
Semalam, Liaoning dilaporkan mengambil bahagian dalam latihan tentera laut besar-besaran bersama puluhan kapal lain di Laut China Selatan, yang dituntut China dan beberapa negara sekitar.
“Tidak ada sebab untuk bimbang selagi tidak menceroboh perairan negara. Terdapat juga kapal pengangkut pesawat dari negara lain beroperasi di rantau ini atas dasar ‘kebebasan navigasi’ di perairan antarabangsa,” kata Kamarulzaman.
Beliau berkata semua kapal berhak berlayar di perairan antarabangsa selaras dengan peruntukan Konvensyen Undang-undang Laut PBB.
Kamarulzaman berkata tentera laut sedang memantau keadaan ini.
“Sekiranya berlaku pencerobohan kapal asing ke dalam perairan kita, ada saluran untuk membangkitkan kebimbangan kita.”