
Anak jati Kuala Lumpur itu yang kini bergelar pemain piano, penerbit, penyusun serta konduktor muzik selain mengetuai satu kumpulan muzik, mula mencipta nama di arena antarabangsa menerusi video muzik “Revival” yang diterbitkan dan diarah sendiri olehnya pada Disember 2015, disusuli konsert pertama dengan tajuk sama di Berklee College of Music (BCM) di Boston, Amerika Syarikat pada Februari 2016.
“Pada 2012, saya menyertai Berklee Transfer Programme yang ditawarkan di International College of Music (ICOM) di ibu negara. Saya di sana (ICOM) selama 2 tahun dan di situlah saya didedahkan kepada muzik kontemporari,” katanya.
Pada peringkat awal beliau mengalami kesukaran mengikuti pengajian kerana muzik kontemporari berbeza dengan klasik, namun beliau sedar bidang itu penting sebagai persediaan untuknya ke BCM.
Menceritakan kehidupannya di AS dari 2014 hingga 2016, Foong bukan sahaja perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran kolej selain tugasan yang sukar, tetapi pada masa sama perlu membuktikan pemuzik wanita sepertinya juga mampu melakukan apa sahaja setanding dengan pelajar lelaki.
Antara pengalaman paling berharga setakat ini ialah membuat persembahan pembuka tirai jelajah Richard Clayderman pada 2013 serta menyanyi bersama Berklee Gospel Choir dengan pemenang Anugerah Emmy, Chris Tomlin pada jelajah “Love Ran Red” penyanyi itu di Lowell, AS pada 2015.
Kini wanita muda itu dalam proses menerbitkan single lagu gospel pertamanya yang akan menampilkan penyanyi dan penulis lirik AS, Tyesha Chaunte.
Pemain papan nada dan penyusun muzik untuk kumpulannya “Starlight Astronauts” itu berkata, tahun lepas beliau dan kumpulannya membuat persembahan di Festival Jazz ke-13 di Shanghai, China.
“Saya berhasrat memanfaatkan keupayaan dan pengalaman yang saya peroleh di seberang laut ini untuk menaikkan industri muzik tempatan,” katanya.
Beliau juga berharap lebih ramai wanita menceburkan diri dalam industri muzik yang akan mewujudkan inovasi tahap baharu dalam bidang berkenaan.