Tampal poster tanpa permit: BN didenda lagi, kali ini hampir RM26,000

Tampal poster tanpa permit: BN didenda lagi, kali ini hampir RM26,000

Majlis Perbandaran Seberang Perai mengeluarkan 49 kompaun berjumlah RM12,000 dan kos pembersihan sebanyak RM13,995 kepada BN Pulau Pinang.

PETALING JAYA:
Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mengeluarkan kompaun sebanyak RM25,996 kepada Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang kerana menaikkan poster mengkritik Lim Guan Eng secara haram.

Ia selepas Majlis Bandaraya Pulau Pinang mengenakan kompaun berjumlah RM13,448 kepada BN Pulau Pinang kerana menaikkan poster anti ketua menteri tanpa permit.

Hari ini, Yang Dipertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud dipetik China Press mengesahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengeluarkan 48 kompaun yang setiap satu berharga RM250 dan berjumlah RM12,000.

Katanya, BN Pulau Pinang turut dikenakan kos pembersihan sebanyak RM13,995 dan semua kompaun itu dihantar melalui pos kepada parti itu hari ini.

Pada malam 19 Mac lalu, kira-kira 16,000 poster dengan gambar Lim yang tertera “temberang Pakatan Harapan, 10 tahun 51 janji kosong” muncul di Seberang Perai dan bahagian pulau itu.

Di bahagian bawah poster 4 bahasa itu tertera BN Pulau Pinang.

Pengerusi BN negeri, Teng Chang Yeow dilaporkan mengakui poster itu adalah sebahagian usaha BN untuk menghantar mesej kepada rakyat yang kerajaan negeri gagal menunaikan 51 janji yang diberikan sejak 10 tahun lalu, serta “raptai” menjelang pilihan raya umum ke-14.

Susulan itu, MBPP menerusi satu kenyataan memaklumkan pihaknya pada 23 Mac lalu mengeluarkan 27 kompaun berjumlah RM6,750 dan mengenakan kos membersihkan poster sebanyak RM6,698 kepada BN negeri.

Selasa lalu, Teng dilaporkan berkata, parti itu akan membayar denda yang dikeluarkan MBPP dan MPSP dengan bantuan penderma.

BN didenda RM13,000 tampal poster Guan Eng tanpa permit

Penderma bantu BN bayar denda RM13,000 kepada PBT Pulau Pinang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.