Sepetang bersama isteri Zakir Naik

Sepetang bersama isteri Zakir Naik

Sewaktu suaminya berusaha membina semula empayar dakwah Islam beliau, Farhat Naik berceramah kepada wanita tentang matlamat hidup.

Free Malaysia Today
Zakir Naik mengimamkan solat di Surau As-Syifa di Tamara Residence, Putrajaya.
PUTRAJAYA:
“Sampaikan kepada mereka yang tidak dapat hadir, mudah-mudahan mereka datang dan mendapat manfaat,” kata wanita berkaca mata itu kepada sekumpulan wanita yang duduk di kerusi plastik coklat menghadapnya.

Walaupun bahasa Inggerisnya lancar, tetapi dengan sebutan India yang tebal, tidak semua hadirin memahami beliau.

Kemudian, seorang penterjemah berkata sesuatu dalam bahasa Arab. Ketika itu, seorang hadirin berbisik, “Itu Farhat, isteri Dr Zakir Naik.”

Tidak seperti suaminya, Farhat Naik tidak memiliki laman media sosial rasminya. Gambar beliau juga tidak pernah kelihatan walaupun menyampaikan di pelbagai negara. Mungkin kerana pada setiap kuliah, Farhat berulang kali mengingatkan supaya dipadamkan semua rakaman atau foto yang diambil.

Lebih kurang 30 orang berkumpul di ruang tamu apartmen sebuah kondominium berhadapan tasik Putrajaya itu.

Ruang dalaman tiada apa-apa yang menarik perhatian. Sebuah pembesar suara berdiri di bahagian depan, sebuah papan putih dan televisyen tergantung di dinding. Konsep minimalis jelas terpakai secara maksimum di sini.

Sebelum itu, tetamu wanita berhimpun di surau di tingkat bawah, sebelum mereka diberitahu supaya menaiki lif ke tingkat 14.

Melihat cara pemakaian tudung dan percakapan, kebanyakan mereka bukan rakyat Malaysia. Ada yang dari tanah Arab, India dan China.

“Apakah tujuan kewujudan kita? Kenapa kita berada di sini? Apakah destinasi kita? Ke mana harus kita pergi? Apakah tujuan hidup kita?”

Farhat memulakan ucapannya, melontarkan soalan demi soalan, memulakan kuliah yang akan mengambil tempoh selama 2 jam sehingga waktu Maghrib.

“Apakah tujuan kehidupan kita,” tanya beliau lagi. Kali ini beberapa orang mengangkat tangan untuk menawarkan pandangan.

Setiap 15 minit penterjemah mengambil alih majlis. Ia berterusan begini sehingga berakhir tepat sebelum waktu solat Maghrib.

Bilangan yang hadir untuk mendengar Farhat sangat sedikit dibandingkan dengan khalayak yang hadir ke majlis ceramah suami beliau yang mencecah angka ribuan orang di dewan dan stadium.

Farhat Naik, isteri pendakwah kontoversi India, Zakir Naik, sudah beberapa minggu mengadakan siri kuliahnya di Tamara Residence, Putrajaya, tempat tinggal mereka berdua.

Free Malaysia Today
Bekas model, Eliza Kim bercakap di sebuah majlis syarahan Farhat Naik anjuran sebuah penerbit buku, dalam gambar yang diambil dari YouTube. Wajah Farhat tidak disertakan dalam video ini.

Sesi kuliah Farhat berlangsung setiap hari Sabtu, selepas solat Asar.

Tetapi Farhat pernah bercakap kepada khalayak yang besar di Afrika, Timur Tengah, India dan Amerika Syarikat.

Beliau mendapat ijazah sarjana dari Universiti Poona, India, kini dikenali sebagai Universiti Savitribai Phule Pune bersempena nama seorang reformis sosial India yang memperjuangkan hak pendidikan untuk wanita.

Bagaimanapun, petang ini Farhat tidak bercakap tentang hak wanita.

Ibu 2 anak ini seolah-olah memainkan peranan sampingan dalam usaha suaminya membina empayar dakwah Islam beliau, yang kini dipantau rapat oleh pihak berkuasa India berikutan dakwaan pengubahan wang haram dan penyebaran fahaman ekstremis.

Di surau

Ia mengambil masa untuk membina sebuah empayar. Begitu juga Yayasan Penyelidikan Islam (IRF) dan saluran satelit TV dakwah milik Zakir, Peace TV, juga bermula secara kecil-kecilan.

“Ketika Nabi memulakan misinya, baginda hanya berdakwah kepada 6 orang,” kata seorang peminat tegar Zakir yang ditemui di surau, sebelum sesi itu berpindah ke tingkat 14.

Surau As-Syifa yang menjadi tumpuan penduduk kondominium tersebut, merupakan tempat sesuai bagi Zakir memulakan empayar beliau atau lebih tepat, membangunkannya semula.

Kedua-dua IRF dan Peace TV sudah diarah tutup di India. Namun pihak berkuasa negara itu tidak berpeluang menyoal siasat beliau berhubung dakwaan pengubahan wang haram dan penyebaran fahaman ekstremis.

Zakir cekap menghindari mereka, berulang alik ke Arab Saudi, Malaysia dan Indonesia sambil menganjurkan syarahan mengenai topik kegemaran beliau, membandingkan Islam dan agama lain seperti Kristian dan Hindu. Topik inilah yang kurang disenangi kumpulan Hindu dan Kristian yang menuduh beliau memperkecil agama mereka.

Free Malaysia Today
Tamara Residence di Putrajaya di mana isteri Zakir Naik mengadakan kuliah mingguannya.

Di Tamara Residence, secara perlahan-lahan Zakir mula membina pangkalannya, terutama dalam kalangan penghuni pelbagai bangsa itu.

Baru-baru ini, Zakir mengimamkan solat di surau berkenaan. Pada lawatan FMT sebelum ini, ramai penghuni yang mahukan beliau mengadakan kuliah di situ.

Ini bukanlah kerana solat atau syarahan Zakir terlalu berlainan daripada imam atau pensyarah lain, walaupun seorang pengunjung surau pantas memberitahu perbezaan kecil dalam cara Zakir menyudahkan solatnya.

“Nampak tak, Zakir tidak berdoa selepas solat?” kata beliau.

Perbezaan ini antara tanda-tanda kecil seorang itu ada kecenderungan fahaman Salafi, aliran yang diamalkan Zakir Naik.

Sebelum ini, beberapa ulama Islam tradisional di India menuduh Zakir menyebarkan Salafisme, versi Islam yang lebih ketat yang menjadi ikutan rasmi di Arab Saudi, walaupun kerap mendapat bantahan di bahagian dunia Islam lain.

Salafisme atau apa istilah kasarnya Wahabisme, merupakan asas kepada pelbagai sekatan ketat di Arab Saudi sebelum ini, seperti mengharamkan wanita memandu kereta atau berjalan keluar tanpa mahram.

Walaupun kebanyakan amalan lainnya menyerupai amalan Sunni lain, namun ada perbezaan, seperti tidak mengangkat tangan berdoa beramai-ramai.

Tujuan hidup

Di tingkat 14, kumpulan wanita tadi terus tekut mengikuti kuliah Farhat tentang “tujuan hidup.”

Beliau kini beralih kepada rahmat Tuhan, amar makruf dan nahi mungkar.

Farhat membacakan ayat Al-Quran dan kemudian memberikan tafsiran, “Allah memanggil kita, orang Islam, sebagai umat terbaik,” katanya.

“Dia tidak memanggil orang Yahudi, Kristian, Hindu, Cina atau mereka yang menganuti fahaman Shinto atau Hindu atau Kristian atau agama Yahudi. Siapakah yang Dia panggil? Dia memanggil orang Islam, golongan terbaik dalam sejarah manusia,” kata Farhat. Sesekali, kesunyian di kalangan hadirin dipecahkan oleh bunyi mesej telefon bimbit.

“Mengapa Dia memanggil kita golongan terbaik? Kerana ada 3 perkara yang anda lakukan menurutNya. Anda lakukan 3 perkara ini. Apakah 3 perkara ini? Menyuruh perkara baik, menghalang perkara jahat, dan mempercayai Allah.”

Kini, wanita yang berbisik pada awal sesi tadi memeriksa telefonnya, mungkin mahu melihat jika ada “missed call”. Seorang lagi wanita dengan lembut memberitahu anak perempuannya untuk merendahkan suara.

Beberapa minit sebelum itu, Farhat berkata jiran-jiran mengadu kepada suaminya berkenaan bunyi bising daripada kanak-kanak semasa ceramah.

Farhat ada penyelesaian untuk itu. Beliau meminta setiap yang hadir untuk bergilir-gilir menjaga kanak-kanak setiap minggu.

“Kita semua ada anak. Tidak bolehkah kita menyumbangkan sesuatu kepada umat?” kata Farhat.

Ceramahnya diteruskan, seperti kapal terbang bergerak dalam perjalanan domestik, bersiap untuk mendarat sebaik sahaja ia stabil di udara.

“Tidak bolehkan kita tinggalkan sedikit legasi untuk umat ini? Kita mampu lakukannya, para wanita sekalian. Allah Maha Memberi.”

Ceramah itu semakin hampir kepada penutupnya, dan Farhat juga memberikan analogi penerbangan.

“Apakah tujuan hidup saya, apakah tujuan hidup saya? Anda tahu?

“Jika ada juruterbang dalam pesawat dan seorang jurutera kapal terbang… tetapi kedua-duanya mempunyai haluan berbeza, dan kedua-duanya mempunyai destinasi berbeza dalam fikiran. Jurutera kapal terbang itu mahu ke Delhi di India, dan juruterbang itu mahu ke Kuala Lumpur, Malaysia. Apa akan berlaku dalam pesawat? Kekeliruan? Kacau bilau? Gangguan?”

Beliau kemudian kembali kepada “setting” rumah tangga, sambil membuat perbandingan.

“Si suami mahu melakukan sesuatu, si isteri mahu lakukan perkara lain. Terdapat kekeliruan dan kekacauan dalam keluarga! Kedua-dua suami dan isteri, jika mereka mempunyai visi dan misi sama,” katanya, berulang kali menyebut “insyaAllah”, dan menyambung: “Ia akan menjadi penerbangan yang berjaya di mana jurutera kapal terbang itu dan juga juruterbang itu sama-sama mahu ke Kuala Lumpur.”

Ketika hadirin bangun mengucapkan selamat tinggal sesama mereka, Farhat memberi amarannya seperti biasa: “Jika terdapat sebarang gambar atau audio dirakam daripada ceramah ini, sila padamkannya. Anggaplah ini sebagai amanah untuk anda melakukannya.”

Dikehendaki di India, Zakir Naik sedia bina semula di Malaysia

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.