
Ramai anggota polis turut dikerahkan mengawal di sekitar Tugu Negara dan di sepanjang jalan menuju ke Parlimen.
Kumpulan pemantau pilihan raya itu bercadang menyerahkan satu memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang meminta beliau menarik balik laporan yang dijadual dibentangkan di Parlimen hari ini.
Bagaimanapun, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah mengarahkan Bersih memilih 4 wakil yang akan dibenarkan memasuki kawasan Parlimen.
Ditanya sama ada penunjuk perasaan akan ditahan jika mereka ingkar arahan, Shaharuddin berkata, ia bergantung kepada keadaan.
“Keputusan itu terletak di tangan saya,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Bersih tidak diberikan permit untuk mengadakan bantahan di luar bangunan Parlimen.
Gerakan Baju Merah yang diketuai Datuk Seri Jamal Yunos mahu mengerahkan 10,000 aktivis mereka untuk menghalang Bersih 2.0 daripada mencetuskan “huru-hara” di lokasi sama.
“Kedua-dua pihak tidak memohon permit untuk mengadakan protes mereka, tetapi polis akan bersiap sedia. Kami akan mengambil langkah sewajarnya dan memantau keadaan supaya tiada apa berlaku,” katanya.