Kerajaan PH boleh selesai masalah kanak-kanak tanpa kerakyatan

Kerajaan PH boleh selesai masalah kanak-kanak tanpa kerakyatan

Sim Tze Tzin berkata PH boleh selesaikan masalah yang tidak dapat diselesaikan kerajaan BN selepas mendapati 66,194 kes masih berlonggokan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) boleh menyelesaikan masalah anak orang tempatan yang tiada kerakyatan selepas mendapati BN tidak mampu menyelesaikan kes itu sejak 18 tahun lalu.

Pengarah Strategik PKR Sim Tze Tzin berkata dalam tempoh 2000 hingga 2018 masih terdapat 66,194 kes anak-anak orang tempatan tanpa kerakyatan masih berlonggokan.

“Dalam manifesto PH, kami menjanjikan memulakan proses pemberian kerakyatan kepada permohonan yang layak dalam 100 hari. PH akan menubuhkan taskforce khas untuk mempercepatkan proses meluluskan kerakyatan.

“Kami berpendapat bahawa kanak-kanak tidak bersalah. Masa depan mereka tidak boleh digadaikan oleh karenah birokrasi Kementerian Dalam Negeri (KDN). Keadilan harus ditegak kepada kanak-kanak yang tidak berdosa,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu berkata jawapan daripada kementerian mendedahkan seramai 82,789 kanak-kanak bawah usia 21 tahun memohon kerakyatan dalam tempoh tahun yang sama.

“Mungkin bukan semua adalah kes tiada kewarganegaraan tetapi tidak dapat dinafikan majoriti tiada kewarganegaraan maka mereka terpaksa memohon kerakyatan dengan KDN,” katanya.

Beliau seterusnya menyenaraikan beberapa kes anak orang tempatan tanpa kerakyatan yang dikemukakan oleh PKR seperti kes Roisah Abdullah (20), Muhammad Fitri Abdullah (17, Lim Choon Aik (7), Yusri Looi (7), Sindi Claudia Looi (9), Arly Mai Geanga (22) dan Kartiyani Ragunathan (8).

“Ramai lagi yang tersembunyi di belakang statistik,” kata Sim.

Beliau menjelaskan masalah tiada kewarganegaran boleh berlaku atas pelbagai sebab seperti bapa berkahwin dngan warganegara lain atau masalah pendaftaran perkahwinan.

Sim berkata PKR difahamkan kelewatan dalam proses meluluskan kerakyatan kepada anak orang tempatan berlaku di Kementerian Dalam Negeri sahaja. “Menteri mempunyai kuasa meluluskan permohonan tetapi KDN gagal menyelesaikan masalah ini.”

“Menteri dalam negeri tidak boleh lagi menolak tanggungjawab menyelesaikan masalah ini. Hal ini kerana kanak-kanak tidak bersalah. Mereka mempunyai masa depan yang panjang. Kerajaan tidak boleh melengah-lengahkan kelulusan kerakyatan kerana karenah birokrasi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.