‘Jangan ganggu kerajaan selesai isu tanah Ijok’, kata jawatankuasa

‘Jangan ganggu kerajaan selesai isu tanah Ijok’, kata jawatankuasa

Pengerusi Umar Ali Bashah berkata peneroka patut berterima kasih kepada Menteri Besar Azmin Ali.

Free Malaysia Today
Sekumpulan peneroka di lobi Bangunan Annex bagi memberi penerangan berkenaan isu tanah Ijok.
SHAH ALAM:
Jawatankuasa Bertindak Rancangan Revolusi Hijau Bukit Cherakah memberi amaran kepada mana-mana pihak jangan mengganggu kerajaan Selangor menyelesaikan isu pampasan tanah Ijok yang berlarutan selama 20 tahun.

Pengerusi Umar Ali Bashah berkata 987 peneroka terlibat sepatutnya berterima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana berjaya memecah kebuntuan selepas mengambil masalah itu daripada pentadbiran lepas.

Beliau memberi amaran jawatankuasa akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mengagalkan usaha penyelesaian.

“Azmin dapat selesaikan tanah yang sudah terbengkalai selama 20 tahun. Sejak 2000 hingga 2008 tidak ada wakil rakyat Barisan Nasional (BN) datang bantu kami waktu itu.

“Pada 2008 selepas bekas menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim ambil alih juga tidak dapat selesaikan masalah pampasan kepada peneroka Ijok. Sehinggalah selepas 2015, apabila Azmin ambil alih baru kami diberikan perjanjian baharu,” katanya pada sidang media di Lobi Bangunan Annex hari ini.

Free Malaysia Today
Umar Ali Bashah berkata pihak akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menghalang kerajaan negeri menyelesaikan isu pampasan tanah.

Umar menambah melalui kerajaan negeri sekarang, 863 orang daripada 987 peneroka sudah menandatangani perjanjian baharu.

Beliau meminta peneroka tanah Ijok menunggu sehingga 24 bulan tempoh rumah siap dibina oleh pemaju seperti dijanjikan kerajaan negeri.

Umar juga kesal 358 peneroka lain meninggal dunia sebelum sempat melihat penyelesaian ini.

“Pemaju sudah berjanji rumah akan siap dalam tempoh 24 bulan. Sekarang sudah 2 bulan dan kita nampak tiang rumah telah dinaikkan, maka hanya perlu tunggu 22 bulan. Kalau tidak disiapkan, kita akan kejar pemaju baharu sehingga selesai sepenuhnya,” katanya.

Pada 14 Mac lalu, media melaporkan sekumpulan 113 peneroka tanah di Ijok mengemukakan tuntutan terhadap 6 defendan termasuk menteri besar dan kerajaan negeri Selangor di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung isu pampasan tanah Ijok.

Tuntutan berkaitan kecuaian Azmin dan kerajaan Selangor dalam menstrukturkan persetujuan penghakiman di Mahkamah Persekutuan pada 2016. Tuntutan dibuat pengerusi badan bertindak yang lama iaitu dari 2003-2014, Mohd Fadzil.

Tuntutan bertujuan untuk mengembalikan hak mereka, walaupun menurut beliau terdapat peneroka takut dengan ugutan pihak tertentu kononnya tidak akan menerima pampasan sekiranya berbuat demikian.

Sebelum ini, penyelesaian yang dikemukakan kerajaan negeri menyaksikan setiap peneroka menerima wang tunai RM180,000 dan membina rumah bernilai sehingga RM500,000.

Ini bermakna peneroka memperoleh sehingga RM680,000 dalam bentuk tunai dan aset berbanding tawaran zaman Tan Sri Abu Hassan berjumlah RM360,000 dan tidak ditunaikan.

SPRM panggil peneroka asal bantu siasatan jual tanah Ijok RM1.18 bilion

Peguam: Cara Azmin selesaikan 30 kes, lindungi Selangor, Khalid

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.