
Menteri dalam negeri berkata siasatan polis mendapati Hanief, 33, tidak menganut fahaman IS dan sekadar mahu mengetahui sama ada IS mengikuti ajaran Islam atau sebaliknya.
“Pendedahan lanjut juga mengesahkan suspek tidak menyertai mana-mana sel kumpulan pengganas IS dan akan dibebaskan dalam masa terdekat,” kata Zahid dalam jawapan bertulis kepada Tian Chua (PKR-Batu).
Hanief ditahan di Singapura pada Januari bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana keradikalan, dan di Malaysia pada Februari bawah Akta Kesalahan Keselamatan sejurus diserahkan.
Siasatan pihak berkuasa Singapura mendapati Hanief, yang mempunyai akses ke Pusat Pengangkut Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, meradikalkan diri sendiri melalui bahan-bahan pendakwah ekstremis di internet.
Kementerian Dalam Negeri Singapura berkata tiada petunjuk Hanief akan melancarkan serangan di negara pulau itu atau cuba meradikalkan orang lain, tetapi keradikalannya menjadikan dia ancaman keselamatan.
Semalam, pihak berkuasa Singapura menangkap 2 lagi rakyat Malaysia yang dikatakan terlibat dalam rancangan pengganas di Malaysia, selepas menerima maklumat daripada pihak berkuasa Malaysia.
Dua individu itu, yang bekerja sebagai penjaga bangunan, antara 6 rakyat Malaysia yang ditangkap kerana didakwa merancang serangan terhadap rumah ibadat orang bukan Islam, menculik serta membunuh anggota polis.