10 kedai termasuk muzium terbakar di Cameron Highlands

10 kedai termasuk muzium terbakar di Cameron Highlands

Menurut bomba, kedai terbabit termasuk kedai sayur, 2 kedai makan, kedai mesin permainan, muzium terowong masa dan kafe.

Free Malaysia Today
Gambar Facebook.
IPOH:
10 kedai, termasuk sebuah muzium yang mempamerkan koleksi sejarah hangus dalam kebakaran di Sungai Burung, Cameron Highlands malam tadi.

Penguasa Bomba Zon 3 Pahang, Shahrulnizam Nasir berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 10.16 malam tadi.

Katanya, 2 jentera “water tender” dari Balai Bomba dan Penyelamat Brinchang dan Ringlet digunakan dalam operasi memadamkan api dan dibantu sebuah jentera dari pasukan Bomba Sukarela Tringkap.

“Sampai di lokasi kejadian yang melibatkan deretan kedai, iaitu daripada 16 unit kedai, 6 berjaya diselamatkan.

“Anggaran peratusan kebakaran adalah 70% dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, operasi memadam api yang tamat pada 3.50 pagi itu disertai 2 pegawai dan 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Brincang serta Ringlet, 8 anggota Bomba Sukarela Tringkap, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.

Menurut Shahrulnizam, antara kedai terbabit dalam kebakaran termasuklah sebuah kedai sayur, 2 kedai makan, sebuah kedai mesin permainan, muzium terowong masa dan sebuah kafe.

Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.