
“Pihak berkaitan” itu dipercayai merujuk Barisan Nasional (BN) kerana Pengerusi negerinya, Teng Chang Yeow mengakui parti itu menaikkan poster mengecam kegagalan pentadbiran kerajaan Pulau Pinang diketuai DAP itu, pada 20 Mac lalu.

China Press melaporkan MBPP dalam satu kenyataan malam tadi menyatakan jumlah itu termasuk 27 kompaun yang dikeluarkan 23 Mac lalu.
“Setiap kompaun itu bernilai RM250 dan jumlah keseluruhan ialah RM6,750 manakala kos membersihkan poster itu sebanyak RM6,698.”
Jumaat lalu, Datuk Bandar MBPP, Yew Tung Seang dilaporkan berkata, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow melanggar Undang-undang Kecil (Kebersihan dan Keselamatan Awam) Majlis Perbandaran Pulau Pinang 1980, selepas mengaku menaikkan poster itu tanpa permit di negeri itu.
Di bawah undang-undang itu, MBPP boleh mengeluarkan kompaun bernilai RM250.
Yew kelmarin berkata, MBPP terlebih dahulu menghantar kompaun bernilai RM240 kepada Teng kerana menaikkan poster di sebatang jalan dan selebihnya akan dikirim kepadanya selepas membuat pengiraan.
Pada malam 19 Mac lalu, kira-kira 16,000 poster dengan gambar Lim yang tertera “temberang Pakatan Harapan, 10 tahun 51 janji kosong” muncul di Seberang Perai dan bahagian pulau itu.
Di bahagian bawah poster 4 bahasa itu tertera BN Pulau Pinang dan Teng turut mengakui itu adalah angkara BN.
Keesokannya, Teng mengakui poster itu adalah sebahagian usaha BN untuk menghantar mesej kepada rakyat yang kerajaan negeri gagal menunaikan 51 janji yang diberikan sejak 10 tahun lalu, serta “raptai” menjelang pilihan raya umum ke-14.