Lagu GST: Guan Eng nyanyi lagi

Lagu GST: Guan Eng nyanyi lagi

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, tindakannya menyanyikan lagu GST Sabtu lalu hanya untuk menunjukkan bantahan rakyat terhadap pelaksanaan cukai baharu itu.

Free Malaysia Today
Lim Guan Eng (dua dari kanan, barisan depan) menyahut cabaran seorang penyokong dengan menyanyikan lagu GST buat kali ke-2, dalam satu majlis di Bagan Dalam, malam tadi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lim Guan Eng sekali lagi menyanyikan lagu cukai barang dan perkhidmatan (GST) malam tadi, walaupun polis sedang menyiasat video menunjukkan ketua menteri Pulau Pinang itu cuba menghasut kanak-kanak membenci kerajaan dalam satu program pelancaran Tuisyen Rakyat di Jelutong, minggu lalu.

China Press memetik Lim sebagai berkata, tindakannya menyanyikan lagu GST Sabtu lalu hanya untuk menunjukkan bantahan rakyat terhadap pelaksanaan cukai baharu itu.

Katanya, beliau tidak sangka ada orang yang menganggap menyanyi ialah satu kesalahan dan bertindak membuat laporan polis.

“Ini negara apa sebenarnya, nyanyi pun salah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran pusat operasi DAP Bagan Dalam, malam tadi.

Sejurus selepas itu, seorang penyokong di bawah pentas meminta Lim menyanyikan lagu GST sekali lagi.

“Hari itu saya nyanyi lagu lawan GST pun tak boleh, dia (polis) nak siasat saya, ingat saya melakukan jenayah ‘besar-besar’.

“Disebabkan ada orang minta nyanyi semula, saya memutuskan untuk mencabar sekali lagi dan menyanyi bagi anda semua dengar. Walaupun mungkin saya akan ditahan dan dipenjarakan, tetapi demi rakyat, saya tidak boleh tak nyanyi.

“Mari kita nyanyi sama-sama, kalau dia (polis) nak dakwa 2 kali pun dakwalah.”

Setiausaha agung DAP itu turut berseloroh nyanyian tidak sebagus Datuk Siti Nurhaliza dan berharap rakyat boleh menerimanya.

Selesai bercakap, beliau mengeluarkan telefon bimbitnya dan menyanyi lagu GST mengikut lirik di paparan skrin.

Rabu lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata pihaknya akan memanggil Lim dan beberapa individu lain dalam masa terdekat, termasuk mereka yang membuat laporan polis berhubung video itu.

Setakat kelmarin, polis merekodkan keterangan 3 individu dan menerima 4 laporan polis daripada individu, badan bukan kerajaan dan parti politik yang tidak berpuas hati dengan penyebaran video itu.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Pada 17 Mac lalu, satu video selama 32 saat menunjukkan Lim mengajar sekumpulan kanak-kanak menyanyi mengikut rentak lagu GST, ketika merasmikan Program Tuisyen Rakyat yang diperkenalkan kerajaan negeri.

Lagu GST: Polis akan panggil Guan Eng

Lagu ABC bermesej politik, laporan polis terhadap Lim Guan Eng

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.