
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) menolak dakwaan “penyiasat” itu yang mendakwa bangkai “dipenui peluru” itu kini di perairan berdekatan Mauritius.
“Imej yang dihantar ke ATSB oleh McMahon diambil pada 6 November 2009, lebih 4 tahun sebelum pesawat itu hilang,” kata seorang jurucakap ATSB.
“Dakwaan palsu seperti ini pasti menyedihkan keluarga dan rakan mereka yang hilang dalam pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.”
Peter McMahon, jurutera Australia yang mendakwa mempunyai pengalaman 25 tahun dalam siasatan pesawat terhempas, mendakwa beliau menemui pesawat itu berdekatan Pulau Round.
Katanya, ATSB menyembunyikan bukti itu.
Tetapi, ATSB berkata, McMahon menghubungi biro itu pada 2016 dan 2017, serta menafikan ia mencadangkan bukti itu mungkin ialah pesawat hilang berkenaan.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang pada 8 Mac 2014, dengan 239 penumpang dan anak kapal.
Walaupun pencarian besar-besaran dilakukan, bangkai pesawat itu tidak pernah dijumpai.
Sayap sepanjang 2m dikenali sebagai flaperon yang ditemui di Pulau Reunion berdekatan Madagascar pada 2015, disahkan ialah serpihan pesawat terbabit.
Pencarian baharu sudah bermula di Lautan Hindi. Syarikat penerokaan dasar laut yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Ocean Infinity memulakan pencarian MH370 atas dasar “tiada penemuan, tiada bayaran” pada 22 Januari lalu.
Syarikat itu akan dibayar AS$20 juta (RM78 juta) hingga AS$70 juta (RM280 juta) jika mereka berjaya menemui pesawat itu dalam 90 hari.
Pihak berkuasa membisu pencarian MH370 terputus hubungan 3 hari