
Akhbar British, The Guardian melaporkan Porter berkata demikian selepas sepasukan 5 peguam, termasuk bekas hakim mahkamah persekutuan Australia, memfailkan permohonan pendakwaan persendirian di mahkamah majistret Melbourne bagi mendakwa Suu Kyi atas jenayah kemanusiaan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.
“Beliau menikmati kekebalan penuh, termasuk daripada penyerahan dokumen mahkamah kerana di bawah undang-undang lazim antarabangsa, semua ketua negara, ketua kerajaan dan menteri luar adalah kebal daripada prosiding jenayah negara asing dan tidak boleh digugat – mereka tidak boleh ditahan, ditangkap atau diserahkan prosiding mahkamah,” katanya.
Peguam dan bekas hakim persekutuan, Ron Merkel QC, berserta pasukan peguam antarabangsa dan hak asasi manusia memfailkan permohonan tersebut Jumaat lepas. Permohonan itu bagaimanapun memerlukan persetujuan peguam negara Australia terlebih dahulu sebelum ia dibenarkan.
Sebagai ketua negara, Suu Kyi bukanlah ketua kerajaan Myanmar – jawatan yang kini dipegang oleh presiden Htin Kyaw – akan tetapi beliau adalah ketua umum kerajaan itu. Beliau juga merupakan menteri luar, jawatan yang mengesahkan kekebalannya.
Lebih 650,000 minoriti Rohingya menyeberangi sempadan ke Bangladesh sejak Ogos bagi menyelamatkan diri daripada keganasan sistematik yang dilakukan pasukan keselamatan Myanmar termasuk pembunuhan, rogol dan pemusnahan perkampungan.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata keganasan itu memperlihatkan “ciri-ciri penghapusan bangsa.”
Suu Kyi didakwa gagal menggunakan kedudukan dan kuasanya, dan demikian, membenarkan pasukan keselamatan Myanmar mengusir dan memaksa orang Rohingya keluar dari kediaman mereka.
Permohonan pendakwaan persendirian itu bergantung pada prinsip bidang kuasa sejagat, khusus untuk kesalahan jenayah paling serius bawah undang-undang antarabangsa seperti penghapusan bangsa, jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.