
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, beliau tidak akan mengarahkan Malaysia berhenti mengimport barangan EU sekiranya sekatan minyak sawit itu diteruskan.
“Kita melaksanakan banyak usaha untuk menangani cabaran ini. Sekiranya EU mengambil langkah yang tidak adil ke atas minyak sawit kita, ia akan menjejaskan kehidupan 650,000 pekebun kecil di negara ini.
“Malaysia tidak mahu mewujudkan sebarang konflik, namun jika EU terus memberi tekanan, saya berpendapat ini tidak akan menguntungkan mana-mana pihak. Kemungkinan akan wujud tindakan balas,” katanya.
Pada Januari 2018, Parlimen Eropah meluluskan deraf cadangan mengharamkan minyak sawit dalam bahan api bio mulai 2021, keputusan yang berpotensi menjejaskan kehidupan berjuta-juta penanam sawit di Malaysia, Indonesia dan Thailand.
Susulan langkah EU itu, Mah mengadakan beberapa misi ke negara Eropah, termasuk Perancis, United Kingdom, Belgium, Sepanyol dan Jerman pada Februari untuk mendapatkan sokongan dan membantah cadangan berkenaan.
“Kebanyakan mereka bersikap terbuka. Kita telah menjelaskan bahawa mereka tidak boleh menyalahkan minyak sawit secara tidak adil dan saya yakin negara itu tidak akan mendiskriminasi minyak sawit.
“Jika mereka berhenti mengimport minyak sawit kita, kita juga tidak akan membeli produk mereka,” katanya, menambah kerajaan turut mengetengahkan isu berkenaan di Pertubuhan Perdagangan Dunia.
EU mengimport 2.06 juta tan minyak sawit bernilai RM10 bilion dari Malaysia pada 2017, manakala jumlah eksport minyak sawit negara meningkat kepada RM78 bilion tahun lepas daripada RM67.8 bilion pada 2016.
Mah berkata, minyak sawit, yang merupakan minyak makan yang sangat kompetitif, menjadi “mangsa” atas prestasinya yang amat baik.
“Mereka berpakat menentang minyak sawit kerana komoditi ini semakin menguasai pasaran dunia. Pada 90-an, minyak sawit hanya menyumbang 10% kepada pasaran minyak sayuran global.
“Kini ia menguasai 60% dan jika aliran ini berterusan, minyak sawit akan terus (mendominasi) 80% hingga 90% (pasaran dunia),” katanya.
Beliau berkata, sentimen anti minyak sawit dari negara-negara maju juga berasaskan dasar perlindungan untuk minyak tempatan mereka seperti minyak biji anggur, minyak kacang soya dan minyak zaitun.
Malaysia merupakan pengeluar minyak sawit ke-2 terbesar dunia selepas Indonesia, diikuti Thailand.