
Peguam Michael Avenatti memfailkan tuntutan mahkamah bagi pihak Daniels minggu lepas, memohon membatalkan perjanjian sulit yang ditanda tanganinya beberapa hari sebelum pilihan raya November 2016.
Tuntutan itu mendakwa Daniels, atau nama sebenarnya Stephanie Clifford, mula mengadakan “hubungan intim” dengan Trump pada musim panas 2006 dan berterusan hingga 2007.
Daniels menawarkan untuk memulangkan wang berjumlah USD130,000 yang diterima bagi membolehkannya “bercakap secara terbuka dan bebas tentang hubungannya dengan presiden dan juga bebas daripada usaha menutup mulut beliau.”
Daniels juga memohon supaya dibenarkan menerbitkan teks pesanan, foto dan video berkaitan Presiden AS itu, kata Avenatti dalam suratnya kepada peguam Trump, Michael Cohen.
“Saya fikir kini adalah masanya untuk beliau menceritakan kisah beliau dan orang awam boleh membuat keputusan tentang siapakah yang bercakap benar,” kata Avenatti minggu lepas.
Salinan perjanjian penyelesaian yang difailkan di mahkamah menunjukkan Daniels menerima USD130,000 daripada syarikat Essential Consultants LLC sebagai bayaran beliau menutup mulutnya.
Dengan menggunakan nama samaran Peggy Peterson dan David Dennison, Daniels dan Trump sepatutnya menandatangani perjanjian itu berserta Essential Consultants.
Akan tetapi Trump tidak menandatanganinya, sekali gus menjadi asas bagi permohonan Avenatti untuk membatalkannya dan membebaskan Daniels daripada obligasi beliau di bawah perjanjian itu.
Daniels turut memohon hakim perbicaraan, Elizabeth Feffer, digantikan, dengan berhujah beliau mempunyai konflik kepentingan kerana keinginannya dilantik ke mahkamah persekutuan.
Rumah Putih menafikan hubungan seks antara Trump dan Daniels.