Kebocoran data peribadi 46.2 juta pengguna masih disiasat

Kebocoran data peribadi 46.2 juta pengguna masih disiasat

Saksi dikenal pasti dipanggil untuk diambil keterangan oleh polis dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi bagi membantu siasatan.

data_breach_REUTERS
Gambar Reuters
KUALA LUMPUR:
Siasatan kes kebocoran data peribadi 46.2 juta pengguna telefon mudah alih di Malaysia, tahun lalu, masih berjalan sehingga kini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Jailani Johari berkata, saksi dikenal pasti sudah dipanggil untuk diambil keterangan oleh polis dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) bagi membantu siasatan.

“Setelah lengkap nanti, hasil siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat bagi menjawab soalan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) berhubung tindakan diambil terhadap pihak terlibat dalam kes tersebut.

Pada awal November lepas, laman Lowyat.net menyiarkan artikel berhubung kecurian data berkaitan maklumat peribadi besar-besaran untuk dijual, melibatkan 50 juta data daripada syarikat telekomunikasi dan 17 juta data daripada laman mencari kerja.

Laman itu turut dilaporkan berkata, 46.2 juta nombor telefon bimbit daripada pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan dibocorkan dalam talian.

Sementara itu, Jailani berkata, KKMM sentiasa memandang serius isu kebocoran data dan pelbagai aktiviti pemeriksaan diadakan bagi memantau sistem data peribadi syarikat pengendali data.

“Kita juga ada buat pertemuan dengan syarikat telekomunikasi dan mengadakan pelbagai program kesedaran di seluruh negara berkenaan isu itu,” katanya.

Menurut Jailani, pada 2017, mahkamah sudah menjatuhkan hukuman terhadap 3 kes kesalahan berkaitan data peribadi dengan 5 kes setakat tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.