Forum Hindraf bersama Dr M kecoh di sesi soal jawab

Forum Hindraf bersama Dr M kecoh di sesi soal jawab

Penganjur campur tangan apabila peserta bertanyakan soalan yang tidak diserahkan sebelum majlis, mencetuskan aksi jerit-menjerit dan gangguan lisan.

mahathir-hindraf
KUALA LUMPUR: Satu forum anjuran Hindraf bersama Tun Dr Mahathir Mohamad terganggu selepas keadaan bertukar tegang di sesi soal jawab.

Penganjur sebelum itu menetapkan semua soalan harus diserahkan sebelum acara bermula.

Keadaan bagaimanapun jadi tidak keruan selepas seorang peserta bangun bertanyakan kepada bekas perdana menteri itu mengapa tidak campurtangan dalam skandal Maika Holdings.

Soalan itu tidak diserahkan semasa diminta, menyebabkan seorang ahli Hindraf menegur peserta itu dan berkata forum malam ini bukan “forum peribadi”.

Teguran itu menyebabkan suara-suara ditinggikan dan gangguan lisan daripada hadirin. Penganjur terpaksa campurtangan dan berkata sesi soal jawab perlu ditamatkan.

Keputusan itu menyebabkan seorang lagi peserta membantah mengatakan tindakan itu tidak adil.

Dr Mahathir, yang memimpin negara selama 22 tahun, bagaimanapun mencelah dan berkata dia akan menjawab beberapa lagi soalan dan mengambil 3 lagi soalan tambahan sebelum penganjur menggulung acara.

Bekas perdana menteri itu, yang tampak tenang sepanjang kekecohan itu berkata: “Tidak apa. Saya sudah biasa.”

Bekas menteri dan presiden MIC Tun Samy Vellu menubuhkan Maika pada 1982 bagi membolehkan masyarakat India menyertai pertumbuhan ekonomi negara. Inisiatif itu bagaimanapun gagal memberi pulangan yang baik.

Pada 2000, syarikat gagal itu diambil alih oleh syarikat G Team Resources milik hartawan G Gnanalingam pada harga RM106 juta untuk membantu menyelesaikan isu-isu berbangkit dan membayar pemegang saham.

Terdahulu, Dr Mahathir mengambil soalan daripada hadirin termasuk tentang rancangan Pakatan Harapan untuk masyarakat India.

Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Naib Pengerusi DAP M Kulasegaran dan Naib Presiden PKR Dr Xavier Jayakumar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.