
Sejak meninggalkan DAP, ahli politik itu yang pernah mengkritik kepimpinan parti dalam konvensyen DAP Pulau Pinang secara terbuka, sedang meneruskan pengajiannya di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang kriminologi di Universiti Sains Malaysia, November lepas.
Bercakap kepada FMT, Shamsher berkata, beliau bercadang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah di bawah Parlimen Bukit Mertajam.
“Saya menawarkan diri sebagai calon alternatif pada saat pengundi bosan terhadap kedua-dua belah pihak dalam persaingan politik kini. Saya mahu menunjukkan politik tidak semestinya berkaitan parti politik.
“Jika saya terpilih, saya mahu menggunakan jawatan itu untuk mewujudkan semak dan imbang dalam politik. Saya akan menjadi penggubal undang-undang yang mesra rakyat, bukan mesra-parti.”
Kali terakhir calon bebas bertanding di Bukit Tengah ialah pada PRU 2013, apabila Mohan Apparoo hilang depositnya setelah mendapat hanya 182 undi.
Dalam PRU itu, calon PKR, Ong Chin Wen mengalahkan Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, dengan majoriti 5,190 undi.
Shamsher berkata, beliau memilih Bukit Tengah kerana beliau pernah menolong 20 keluarga yang menghadapi tindakan pengusiran di kawasan itu.
Beliau mengakui menghadapi masalah membiayai kempennya dan salah satu cara ialah menggunakan kaedah mengutip dana daripada orang ramai.
“Saya bukan ahli perniagaan yang kaya, tetapi saya komited dengan kerja saya. Saya pernah memberi khidmat guaman percuma,” kata peguam itu.
“Saya perlukan sekurang-kurangnya RM50,000 untuk deposit dan kempen. Jika anda sedia membantu membiaya saya, saya akan bertanding. Jika gagal mencapai sasaran, saya akan dermakan semua wang itu.”
Shamsher berkata, fokus kempennya ke arah pencegahan jenayah dan “bandar selamat”.
Beliau yakin penyokong kempen #UndiRosak akan mengundinya.
Kempen #UndiRosak adalah gerakan awam yang meminta pengundi merosakkan undi mereka sebagai tanda protes terhadap parti bertanding bagi memaksa mereka lebih prihatin terhadap suara rakyat.
Shamsher membantah penglibatan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan (PH) yang dipilih sebagai calon perdana menteri gabungan 4 parti pembangkang itu sekiranya mereka memenangi PRU14.
Katanya, Dr Mahathir belum meminta maaf atas salah laku dahulu, manakala Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan pemimpin pembangkang lain tahu mengenai tindakan Dr Mahathir itu.
“Kita menentang Dr Mahathir dari mula lagi. Dengan membawa beliau ke dalam PH, kita turut membawa masalah itu.”
Shamsher berkata, rakyat kini “letih” dengan PH dan BN.
“Rakyat letih dengan kedua-dua pihak dan isu berkaitan. Rakyat mahukan satu alternatif. Saya mahu menjadi alternatif itu,” katanya.