
Difahamkan, tiket berkenaan yang dijual bermula 10 pagi tadi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, habis dijual pada 10.30 pagi, manakala 2,000 lagi tiket yang dijual dalam talian turut habis dijual.
Azizah Abdullah, 53, yang meluahkan kekecewaannya terhadap situasi itu, berkata meskipun boleh menonton perlawanan itu menerusi kaca televisyen, namun suasana tidak sama seperti menonton di stadium.
“Saya dan anak-anak beratur dari 8 pagi tadi lagi, apabila sampai di kaunter kami dimaklumkan tiket habis dan hanya tinggal tiket kanak-kanak sahaja. Saya rasa sangat kecewa sebab tak sempat nak beli tiket untuk perlawanan malam ini,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.
Ibu kepada 9 anak ini turut berkata, sebelum ini, beliau dan keluarga tidak pernah terlepas peluang menyaksikan semua perlawanan pasukan Terengganu di stadium berkenaan.
Mengulas harapan buat pasukan kesayangannya itu, beliau percaya anak didik Irfan Bakti mampu mencapai kejayaan menentang JDT berdasarkan prestasi terkini mereka.
Sementara itu, Kamarrazaman Mohammad, 46, dari Chendering, berkata beliau bersama anak lelakinya berusia 18 tahun rela beratur panjang untuk membeli tiket.
“Kita tahu perlawanan malam ini, pertemuan antara pasukan yang berada di tangga atas liga dan saya rasa perlawanan kali ini sangat menarik,” katanya.
JDT kini menduduki tangga ke-2 liga di belakang PKNS FC dengan 9 mata, manakala TFA di tempat ke-3 dengan 8 mata selepas 4 perlawanan.