Shahrir tunjuk bukti 16 lot tanah di Jalan Semarak kembali milik Felda

Shahrir tunjuk bukti 16 lot tanah di Jalan Semarak kembali milik Felda

Shahrir berkata, kejayaan kembali tanah tersebut sekaligus membuktikan Felda berpegang kepada janji mereka untuk menyelesaikan konflik tersebut.

Shahrir-Samad-menunjukkan-geran-16-lot-tanah
Shahrir Samad menunjukkan geran 16 lot tanah di Jalan Semarak yang dikembalikan Synergy Promenade Sdn Bhd kepada Felda secara sukarela tanpa sebarang kos, hari ini.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini menunjukkan bukti 16 lot tanah di Jalan Semarak yang dikembalikan pemaju projek, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), selepas pindah milik diragui pada 2015 dan 2016.

Pengerusi Tan Sri Shahrir Abdul Samad berbuat demikian bagi menepis dakwaan pengkritik berhubung satu perjanjian persefahaman yang ditandatangani Felda dengan syarikat itu pada 15 Januari lalu.

“Dalam perjanjian tersebut ada 3 perkara yang dipersetujui, di mana SPSB dengan sukarela menukar hak milik persuratan lot tanah didaftar atas nama mereka kembali kepada Felda,” katanya pada sidang media di Menara Felda.

Sharir berkata, 3 perjanjian itu adalah SPSB mengembalikan 16 lot tanah itu secara sukarela tanpa sebarang kos, rundingan semula Felda dan SPSB untuk menambah baik terma serta syarat perjanjian pembangunan akan dilakukan dan siaatan polis terhadap pemindahan milik tanah diragui itu akan diteruskan.

Katanya, Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) dan ahli lembaga Felda akan berunding untuk menilai harga dan pembangunan tanah itu.

Pada 21 Disember lalu Berita Harian mendedahkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, dianggarkan bernilai RM270 juta, apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu sedang dimajukan untuk membina Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), sebuah projek bernilai tinggi membabitkan 7 menara.

Menurut akhbar itu, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila anak syarikat Felda, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan Felda memberikan surat kuasa wakil penuh kepada syarikat itu bagi membangunkan tanah itu.

Tanah itu kemudian didapati dipindah milik kepada syarikat itu sejak Disember 2015, dan satu lot daripada tanah terlibat didapati ditukar nama kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama pada 21 Julai 2016.

Shahrir pernah mengakui berlaku transaksi tanah yang dianggarkan bernilai RM270 juta, tetapi Felda tidak mendapat sesen pun kerana tiada rekod wang dimasukkan atau dibayar dalam transaksi itu.

Media melaporkan nilai semasa tanah Felda di Jalan Semarak itu dianggarkan mencecah RM1 bilion, jauh lebih tinggi daripada anggaran RM270 juta.

Pada 13 Disember lalu, polis mengumumkan penubuhan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kes itu dan bekas pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad disoal siasat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman, pada 4 dan 5 Januari lalu.

Shahrir dilaporkan berkata, siasatan polis dan audit forensik yang dijalankan sebuah firma audit luar dilantik Jabatan Perdana Menteri, ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) di Jalan Semarak juga akan diteruskan.

Katanya, laporan polis yang dibuat pada 12 Disember dan 28 Disember lalu di bawah Seksyen 420 serta Seksyen 471 Kanun Keseksaan juga tidak akan ditarik balik.

Tanah di Jalan Semarak kembali milik Felda

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.