
Beliau berkata dakwaan itu tuduhan liar dan berniat memfitnah kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) yang banyak membawa kemajuan kepada negeri.
Ahmad Razif menarik perhatian mengatakan kes kurang zat makanan (KZM) di negeri ini disebabkan 2 faktor iaitu kelahiran cacat yang merencat pertumbuhan fizikal iaitu sebanyak 10-20% seperti “cerebral palsy”, “congenital anomalies” dan lain-lain.
“Selain itu, sikap ibu bapa dan keluarga kurang cakna atau kurang mahir tentang keperluan permakanan kanak-kanak juga faktor berlakunya isu KZM di negeri ini, bukan kerana kurang cakna kerajaan atau kemiskinan,” katanya.
Ahmad Razif berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan peserta Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar 2018 di Lembah Bidong hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat.
Raja Kamarul Bahrin dari Amanah dalam sidang media di lobi Parlimen semalam mendakwa berdasarkan laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef), 26% kanak-kanak bawah 5 tahun mengalami tumbesaran terbantut di Terengganu, iaitu ke-2 tertinggi selepas Kelantan.
Katanya, perkara itu mengejutkan kerana Terengganu menerima bajet RM2 bilion setiap tahun untuk 1 juta penduduk berbanding Selangor yang mempunyai bajet lebih rendah iaitu RM1.6 bilion untuk 5 juta penduduk, mendakwa kerajaan negeri tidak prihatin dengan isu berkenaan.
Ahmad Razif berkata berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, pada 2013 terdapat hanya 2.38% kanak-kanak bawah 5 tahun mengalami KZM.
“Prestasi ini kemudian diperbaiki iaitu hanya 1.15% saja kes KZM pada 2017 daripada 19,755 kanak-kanak bawah 5 tahun dan ia adalah ke-2 terbaik di seluruh Malaysia (selepas Johor),” katanya.
Raja Bahrin: Terengganu kaya hasil minyak, mengapa ramai kanak-kanak terbantut?