PRU14: SPR sasar 85% keluar undi

PRU14: SPR sasar 85% keluar undi

Pengerusi SPR berkata usaha itu hanya akan tercapai dengan sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya pihak media.

Mohd-Hashim-Abdullah
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 85% pengundi berdaftar akan keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti, kata Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah.

Beliau berkata usaha itu hanya akan tercapai dengan sokongan dan kerjasama semua pihak khususnya pihak media.

“Tambahan pula situasi politik berkecamuk dan adanya usaha pihak tertentu memprotes tidak keluar mengundi dan merosakkan undi menjejaskan peratusan keluar mengundi pada PRU14 nanti,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kempen “Jom Semak Dan Jom Kita Mengundi” di SPR hari ini.

Mohd Hashim berkata SPR mengadakan mesyuarat itu untuk menggerakkan kempen menggalakkan pengundi berdaftar membuat semakan berkaitan maklumat pengundian mereka.

“Di samping itu, ia juga untuk menggalakkan mereka keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada hari pengundian nanti semasa PRU14.

“PRU bakal berlaku bila-bila masa sahaja. Jadi, penting pengundi menyemak status pengundian masing-masing sebelum pilihan raya supaya mereka tahu maklumat tepat pengundian mereka agar (proses) pengundian berjalan lancar,” kata beliau.

Katanya sehingga Suku Tahun Ke-14 2017, hampir 15 juta pemilih layak mengundi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.